Ahad, 12 April 2020

COVID-19: Enam dikompuan RM1,000 langgar PKP ketika masuk pasar raya

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin
 
SABAK BERNAM: Enam individu menerima padah, apabila dikompaun RM1,000 setiap seorang, selepas melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara beramai-ramai ketika mengunjungi sebuah pasar raya di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias, berkata enam individu terdiri lima wanita dan seorang lelaki itu, berusia di antara 19 hingga 48 tahun, ditahan anggota polis yang mengawasi lokasi terbabit jam 12.45 tengah hari.

“Kesalahan dilakukan mereka adalah melanggar arahan penguat kuasa apabila memasuki pasar raya secara beramai-ramai bagaikan satu keluarga, selain tidak mematuhi penjarakkan sosial.

“Kesemua individu terbabit dikompaun mengikut Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, kesemua individu diberi tempoh dua minggu dari tarikh dikompaun untuk menjelaskan kompaun itu.

Dalam pada itu, Agus Salim turut mengingatkan orang ramai khususnya penduduk daerah Sabak Bernam agar sentiasa mematuhi PKP.

Pihak polis akan mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang melanggar arahan ini yang sudah memasuki fasa ketiga,” katanya.

Tiada ulasan: