Saban tahun, purata 100 kes berjaya diselamatkan oleh pihak JKM
PUTRAJAYA –
Isu lepak dan berpelesiran yang melibatkan kanak-kanak di negara ini
dilihat tidak berkesudahan, malah ia sering dikaitkan dengan pelbagai
permasalahan termasuk menunggang basikal lasak yang dikategorikan
sebagai bahaya dan sukar diambil tindakan dari segi undang-undang.
Saban tahun, purata 100 kes kanak-kanak
berpelesiran berjaya diselamatkan oleh Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM)
sekali gus menunjukkan langkah proaktif diambil bagi membendung nasib
kanak-kanak ini agar terus terbela.
Menerusi temu bual eksklusif wartawan
Bernama, Pengarah Bahagian Kanak-Kanak Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM)
Arfan Sulaiman mengupas isu kanak-kanak melepak dan berpelesiran dengan
lebih mendalam.
BERNAMA: Dengan kajian dan pemantauan
yang dilakukan oleh JKM, boleh huraikan faktor utama penyebab
kanak-kanak ini berpelesiran?
ARFAN: Saya percaya, isu ini berlaku
disebabkan pelbagai faktor dan paling menonjol adalah ibu bapa terlalu
percaya dan mengambil mudah apabila anak mereka berada di luar. Ini
dapat dapat dilihat apabila saban tahun lebih 100 aduan diterima
mengenai kanak-kanak ini berpelesiran dan JKM sentiasa tampil dengan
pelbagai kaedah untuk membantu dan menyelamatkan kanak-kanak ini.
Melalui pemerhatian kami juga, tidak
dinafikan sikap ibu bapa yang ambil mudah serta terlalu mempercayai anak
mereka menyebabkan kanak-kanak ini ‘berani’ berpelesiran sehingga lewat
malam.
Tidak terkecuali apabila ibu bapa
menganggap kawasan perumahan yang didiami selamat serta umur anak yang
berusia sembilan hingga 15 tahun adalah sudah besar juga mendorong
kanak-kanak ini berada di luar rumah tanpa pengawasan yang sewajarnya.
Kami melihat trend ini amat membimbangkan
walaupun secara purata ia hanya 100 kes setahun yang dilaporkan. Jadi
bagaimana dengan yang tidak dilaporkan?
Bagaimanapun, melihat jumlah aduan yang
diterima kita dapat simpulkan masyarakat semakin berani membuat aduan
terutama di Talian Kasih 15999. Ini secara tidak langsung menunjukkan
sensitiviti masyarakat terhadap kes melibatkan kanak-kanak semakin
meningkat.
BERNAMA: Ada ibu bapa yang terlalu
percayakan anak-anak mereka dan disebabkan itu mendorong ‘membenarkan’
anak mereka berpelesiran hingga dinihari. Adakah ini boleh dianggap
kecuaian?
ARFAN: Kita tidak boleh menyamaratakan
kerana setiap kes berbeza daripada pelbagai faktor.
Sebagai contoh, anak
memberitahu pergi tuisyen atau ada kelas tambahan dan sudah tentu ibu
bapa percaya.
Begitu juga dengan keadaan sosioekonomi
sesebuah keluarga yang ‘memaksa’ ibu bapa meletakkan kepercayaan kepada
kanak-kanak. Sebagai contoh, ada ibu bapa yang terpaksa bekerja syif dan
tiada kemampuan menyediakan pembantu rumah atau penjaga. Jadi mahu
tidak mahu, mereka terpaksa ‘membiarkan’ anak menjaga diri sendiri.
Jika ada yang mendakwa faktor saiz rumah
yang kecil membuatkan kanak-kanak itu tidak selesa berada di rumah, ia
juga tidak tepat kerana ada kes berpelesiran yang membabitkan
kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan mewah.
Bagaimanapun, jika terdapat aduan
terutama daripada jiran terdekat kami akan siasat dan lakukan yang
terbaik untuk membantu mencari jalan penyelesaian. Kita juga percaya,
peranan ibu bapa dalam proses mendidik dan mencegah itu lebih penting
dalam mengekang anak-anak daripada berpelesiran.
BERNAMA: Isu kanak-kanak berpelesiran/ lepak ini juga sering dikaitkan dengan aktiviti basikal lajak. Apa pandangan pihak tuan?
ARFAN: Persoalan paling penting di sini
adalah siapa yang sediakan basikal, dan jika diubah suai siapa yang
membenarkannya? Bagi saya, jika pencegahan awal oleh ibu bapa sudah
diambil, sudah tentu aktiviti basikal lajak ini dapat dikekang.
BERNAMA: Selain daripada cadangan
peraturan ‘waktu perintah berkurung’, apakah antara solusi lain yang
boleh diguna pakai dalam usaha mengekang kanak-kanak ini daripada
berpelesiran, sekali gus mendedahkan mereka kepada pelbagai risiko
keselamatan.
Azrul Hakimie, [04.03.20 09:23]
ARFAN: Saya kira, usaha terbaik adalah membudayakan semula ‘jaga tepi
kain orang’ yang selama ini diketepikan atas pelbagai alasan. Saya
percaya, jiran adalah jaringan sokongan yang perlu diperkukuhkan
terutama di kejiranan yang mempunyai kes-kes kanak-kanak berpelesiran
ini.
Di samping itu, kefungsian ibu bapa juga
perlu diberi perhatian. Maksud saya, sistem kekeluargaan yang kondusif
perlu diwujudkan seperti kemahiran menguruskan rumah tangga dan ini
secara tidak langsung mengurangkan kebarangkalian anak-anak
berpelesiran.
Di samping itu, ibu bapa juga perlu
belajar menerima hakikat jika anak mereka bermasalah termasuk suka
berpelesiran. Terima teguran yang diberikan oleh jiran kerana mereka
mungkin mata dan telinga keselamatan anak anda ketika anda tiada di
rumah.
BERNAMA: Difahamkan, JKM sendiri
mempunyai pasukan khas untuk membantu masyarakat menangani gejala
sosial, terutama yang melibatkan kanak-kanak. Boleh terangkan lebih
lanjut mengenai pasukan ini?
ARFAN: JKM telah menubuhkan Pasukan
Pelindungan Kanak-kanak yang mempunyai 132 Pelindung Kanak-kanak dan 149
Pusat Aktiviti Kanak-kanak. Mereka ini terdiri daripada masyarakat atau
individu di kawasan penempatan yang kami pilih dan akan menggerakkan
pelbagai program atau mengambil tahu isu-isu yang berlaku di kawasan
mereka.
Penubuhan pasukan ini difokuskan di
kawasan yang kadar jenayah kanak-kanak tinggi, kawasan berkepadatan
tinggi atau kawasan yang mempunyai masalah sosial yang tinggi.
Kami tubuhkan pasukan ini bagi mengekang
kecenderungan perilaku kanak-kanak ke arah negatif dengan mengadakan
aktiviti yang bergantung kepada keperluan tempat atau lokasi.
Selain itu, dalam akta kanak-kanak
sendiri, JKM mempunyai peranan iaitu pegawai kami diwartakan sebagai
Pelindung/Pegawai Akhlak. Ini bermaksud, Pelindung/Pegawai Akhlak yang
diberi kuasa ini menyelamat kanak-kanak bagi kes melibatkan pengabaian
kanak-kanak, pembuangan bayi malah berpelesiran.
Namun dalam menjalankan fungsi itu, JKM
mempunyai garis panduan dan tertakluk kepada akta dan kategori
kanak-kanak yang perlu diselamatkan.-Bernama
No comments:
Post a Comment