Saturday, March 28, 2020

Gabung jalin ilmu, kepakaran pelbagai bidang perangi Covid-19





Pertama kali dalam hidup saya melihat dan mengalami suatu situasi medikal di mana ilmu itu sangat penting untuk mengatasi satu krisis kemanusiaan seperti Covid19.

Asas ilmu paling penting diketahui ialah:

1. Jangkitan berlaku melalui titisan dan sentuhan dan bukan melalui bawaan udara setakat diketahui terkini.

2. Jangkitan dapat dihindari dangan penjarakkan dari sumber pesakit yang dikenalpasti atau tidak dikenalpasti dalam jarak 1-2 meter dan tidak menyentuh permukaan yang terkena Covid-19.
 
 
3. Covid-19 masuk ke dalam badan melalui hidung dan mulut terutama melalui sentuhan tangan ke muka.

4. Penggunaan topeng hidung dan mulut dan kerap membasuh tangan dapat menghindari penularan wabak.

5. Keperluan peralatan anti jangkitan Covid-19 di hospital dan oleh petugas barisan depan khusus dan berbeza.

Ilmu paling asas yang diperlukan ialah ilmu virologi dan penyakit berjangkit. Dua bidang ini diperlukan oleh kerajaan dan pentadbir dalam mengatur strategi utk mengatasi wabak ini dengan menggunakan ilmu perancangan strategi tahap perang ketenteraan.

Di peringkat Kementerian Kesihatan dan institusi-institusi kesihatan pula perlu ada input dan ilmu dari semua kepakaran dan subkepakaran diadun dan dirumus supaya tiada “pintu” yang dapat ditembusi Covid-19. Semua input ini terutama “tips and gist” dari ilmu penyakit berjangkit hendaklah disampaikan kepada rakyat dengan cara yang berkesan oleh agensi yang bertanggungjawab berserta tindakan selari yang diperlukan.

Ilmu agama dan kaedah fiqh serta gaya hidup perlu digabung jalin untuk membentuk peraturan dan pengarahan yang jelas dan berkesan.

Pihak kerajaan pula mesti mengambil langkah segera menjamin semua keperluan kesihatan terutama “personal protection equipment” dan peralatan khusus kesihatan yang mencukupi untuk semua hospital dan keperluan rakyat. Keadaan sekarang sangat menyedihkan dari sudut ini dan perlu diberi keutamaan tindakan terpantas.

Perintah kawalan pergerakan (PKP) perlu dibuat secara “bertepatan dan mencukupi” dan bukannya “overdo” dan “overkill”. Misalnya jika arahan ini mengakibatkan penyaluran topeng ke hospital tergendala atau kehabisan stok oleh kerana masalah penutupan kilang, pengangkutan atau pekerja tidak boleh datang bekerja kerana sekatan perjalanan atau polisi syarikat yang tidak betul dan tepat maka ianya menjadi suatu tindakan yang rugi dan merbahaya.

Kita juga mengambil kira bekalan dan stok yang kehabisan. Semua tindakan yang dibuat perlu diasaskan kepada ilmu perubatan terutama penjangkitan penyakit berjangkit.

Perlu jelas tujuan PKP untuk menghindari:

1. Penghijrahan
2. Penularan wabak
3. Penciptaan pusat epidemik

Begitu juga penarikan balik PKP nanti dapat membawa kepada penghijrahan dan penularan wabak yang telah dapat dikawal dan boleh membawa kepada gelombang penularan wabak seterusnya.
Terakhir tapi terpenting:

1. Perlu ada “lines of command” yang jelas di semua agensi dan di semua peringkat dari teratas hingga hieraki terbawah agar mengambil tindakan yang betul.

2. Perlu ada penurunan dan penyampaian maklumat yang mencukupi di semua peringkat untuk menghilangkan rasa resah dan panik.

3. Semua tindakan perlu bersungguh, betul, tepat, pantas, dan berintegrasi.

Covid-19 musuh yang tidak cerdas tetapi memanfaatkan kejahilan dan kealpaan manusia, ganas dan licik maka jagalah pintu masuk masing-masing di semua peringkat dan keadaan untuk menghindar penularan Covid-19.

Masih ada satu lagi yang terakhir dan terpenting iaitu segala usaha amalan terbaik yang kita lakukan perlu diiringi bahkan didahului dangan zikir dan doa memohon restu Yang Maha Berkuasa.

Semoga wabak Covid-19 dapat dikawal secepat mungkin hasil kerjasama erat dan terbaik semua agensi kerajaan dan semua lapisan masyarakat.Stay cool. Stay focused.

*Dr Mohamad Hamzah merupakan pengarah KPJ Perdana Specialist Hospital, Kota Bharu. Artikel ini pandangan peribadi beliau.

No comments: