Sunday, March 29, 2020

Melaka kota paling kaya di dunia

Fahmi Bahruddin-

 

Kekayaan hasil bumi jadi sumber utama pedagang antarabangsa

KERAJAAN Melaka telah terkenal dalam catatan sejarah terutamanya dalam aspek kemakmuran dan kemajuan perdagangan antarabangsa mereka. Kemajuan dan kemakmuran Melaka telah dinyatakan oleh Tome Pires yang menulis tentang kepelbagaian pedagang di Melaka yang datang dari pelbagai tempat dan kerajaan.

Sekurang-kurangnya 58 buah tempat dan kerajaan berbeza termasuklah Maldives, Parsi, Bima, Pegu, Champa, China, Armenia, Mesir dan Turki (Wahid, 1990). Selain itu, jumlah pedagang yang ramai turut diperkukuhkan dengan fakta bahawa bahasa pertuturan di Melaka yang terlalu banyak sehinggakan sesama penduduk, hatta jiran-jiran sekalipun tidak memahami bahasa yang dituturkan sesama mereka (Chenoweth, 1998).

Kehadiran para saudagar asing dari kawasan serantau, China serta Semenanjung Arab telah menjadikan Melaka sebagai pusat perdagangan bertaraf antarabangsa. Tome Pires juga mengatakan bahawa terdapat sekurang- kurangnya 61 bangsa dan suku bangsa di Melaka serta terdapat lapan puluh empat bahasa dituturkan oleh para pedagang, mengukuhkan bukti kemajuan Melaka dalam menarik pedagang asing (Hassan & Omar, 2003).

Meilink-Roelofsz juga telah menyatakan bahawa Melaka telah muncul sebagai antara pusat perdagangan utama di Asia;

“…flocked together every year in Malacca, which was then the center of inter-Asian trade. Like a rich and colorful pageant under the blazing tropical sun, this busy eastern market made an indelible impression on the first Europeans who visited Malacca.”

Manakala catatan Duarte Barbosa sekitar abad ke-16 pula menyatakan:

Bandaraya Melaka adalah pelabuhan terkaya dengan jumlah perdagangan borong yang terbesar dan perkapalan serta perdagangan yang sungguh banyak yang boleh didapati di seluruh dunia

Kemakmuran perdagangan di Melaka telah diperkukuhkan lagi dengan catatan kehadiran 2000 buah kapal yang berdagang di pelabuhan Melaka pada satu-satu masa (Hassan & Omar, 2003). Pembesar Melaka pula memberikan perkhidmatan dalam menyediakan gudang untuk disewakan bagi menyimpan barang dagangan. Mereka juga menyediakan tempat penginapan bagi pedagang yang menginap di Melaka untuk menguruskan perdagangan mereka. Selain itu, perkhidmatan kemahiran lain yang disediakan termasuklah seperti memperbaiki kapal, penjahitan, dan pembungkusan (Balwi, 2005).

Kemajuan Melaka juga boleh diukur menerusi penguasaan mereka dalam teknologi, terutamanya dalam aspek perkapalan dan senjata api. Pada zaman keagungan Melaka, banyak kapal Melayu yang berdagang hingga ke Canton, China (Halimi, 2015). Tome Pires juga menyatakan bahawa pedagang Cina sangat takut kepada pedagang Melayu dan Jawa kerana sebuah jong Melayu atau Jawa dengan senang dapat mengalahkan 20 jong Cina (Cortesao: 122-123) (Halimi, 2015).

Catatan sejarawan Portugis Gasper Correla 1496-1511 yang ikut sama menyertai armada Portugis untuk menawan Melaka pada awal abad ke-16 telah membuat perbandingan di antara kapal Melayu Melaka dengan kapal Portugis Flor De La Mar (Teh, 2012). Kapal Melayu Melaka tidak mampu ditandingi oleh kapal-kapal milik Portugis. Kapal Melayu memiliki empat lapisan dinding yang langsung tidak mampu ditembusi peluru-peluru Meriam Portugis (Teh, 2012).

Kerajaan Melaka juga telah membangunkan sistem perindustrian pembuatan kapal mereka sendiri. Dalam Hikayat Hang Tuah pada zaman kesultanan Melaka, dinyatakan bahawa terdapat sekurang-kurangnya tujuh buah kapal atau perahu besar kelas ghali dibina di Melaka dan berpuluh-puluh perahu lain yang boleh belayar di laut lepas atau laut dalam (Musa et al., 2014).

Orang Melayu juga memiliki kemajuan dalam aspek kemahiran seperti pertukangan dan ukiran. Emanuel Godhino de Eredia pula menulis pada tahun 1613M tentang kemahiran pertukangan orang Melayu di Melaka dalam membuat rumah dan seni ukiran daripada besi dan tembaga (Ahmad & Saringat, 2015). Berlaku pembuatan meriam pada zaman kesultanan Melayu Melaka yang kemudiannya diteruskan oleh kesultanan Melayu Johor (Jusoh, 2010).

KEKAYAAN MELAKA

Image result for Mount Ophir dalam catatan silam Eropah.
Rajah: Gunung Ledang atau Mount Ophir dalam catatan silam Eropah.

Catatan oleh Albert S. Bickmore, yang menyentuh mengenai dua buah gunung yang dikenali sebagai ‘Mount Ophir’, satunya di Palembang, manakala satu lagi terletak 40 batu di utara Melaka, yang dikenali sebagai Gunung Ledang. Nama Mount Ophir ini diberi oleh Portugis yang pada pandangan mereka akhirnya mereka telah menjumpai dua gunung yang membekalkan emas dalam kuantiti yang banyak yang dibawa untuk membina rumah ibadat Nabi Sulaiman (1015-975 SM) di Baitulmaqdis melalui kapal-kapal baginda (Bickmore, 1866).

Ini adalah kepercayaan orang Eropah selama ratusan tahun sebelum mereka datang ke alam Melayu lagi (Bickmore, 1866). Terdapat pendapat mengatakan emas-emas tersebut dibawa dahulu ke India sebelum dibawa ke Baitulmaqdis memandangkan perdagangan mengeksport emas ke India sudah berlaku sekurang-kurangnya 500 tahun sebelum pembinaan rumah ibadat Nabi Sulaiman (Bickmore, 1866).

Kekayaan perak dan timah pula yang dimiliki oleh kerajaan Melaka diperkukuhkan menerusi keupayaan Melaka dalam pembuatan wang emas dan timah untuk urusan perdagangan. Mata wang dari perak dan timah yang dikeluarkan ataupun di buat di Melaka (Hassan & Omar, 2003). 

Eksport kerajaan Melayu Melaka termasuklah bijih timah yang telah di cair dan dijadikan kepingan jongkong. Melaka juga mengumpulkan bijih timah dari kawasan tanah jajahannya seperti Kelang, Selangor, Bemam, Manjung, Beruas dan Kedah (Hassan & Omar, 2003). Kerajaan Melayu Melaka memperoleh timah daripada kawasan perlombongan di utara sehingga ke Kedah dan emas dari Pahang (Harrison, 1967).

Image result for Matawang timah Melaka
Rajah: Matawang timah Melaka

Kekayaan emas oleh kerajaan Melaka juga di sumbang oleh hasil bumi beberapa wilayah taklukannya. Terdapat beberapa penaklukan yang menguntungkan Melaka dalam penguasaan emas, antaranya ialah Siak. Penguasaan Siak membolehkan Melaka mengawal pengeluaran emas bagi tujuan tukaran bahan perdagangan dengan saudagar asing.

Penaklukan Kampar pula membolehkan Melaka mengawal eksport emas dan lada yang dikeluarkan dari pendalaman Minangkabau, Rokan, Tungkal dan Inderagiri (Hassan & Omar, 2003). Bayaran dalam bentuk matawang emas banyak disebut dalam Hukum Kanun dan Undang-undang Laut Melaka yang menunjukkan meluasnya penggunaan matawang emas pada zaman itu (Langkawi, 2015).

Sejarah Melayu juga bahawa pada penghujung kurun ke-15, orang Melaka yang kaya, rata-rata mempunyai kapal mereka sendiri (Hassan & Omar, 2003). Tome Pires mengatakan bahawa para pedagang pribumi menggunakan kapal bukan sahaja di sekitar semenanjung Tanah Melayu tetapi juga hingga ke Koromandel, Tenasserim, Teluk Benggala, Pegu, Ceylon, China, Kepulauan Nusantara, Maluku hingga ke Mekah. Kegiatan ekonomi perdagangan dan perkapalan yang besar dan kompleks ini menyebabkan wujudnya sistem, tertentu atau aturan menggunakan kapal seperti yang terdapat di Undang-Undang Laut Melaka (Hassan & Omar, 2003).

Duarte Barbossa pernah menulis laporan pada tahun 1518 yang menceritakan kemewahan pembesar-pembesar Melayu di Melaka. Mereka memiliki pelbagai pejabat perdagangan dengan para pembantu yang ramai di kota. Rumah-rumah kediaman yang besar dibina di luar kota, dilengkapi taman, kebun buah-buahan dan kolam air (Ahmad & Saringat, 2015).

Kekayaan perdagangan di Melaka telah menyebabkan kerajaan mewujudkan sistem percukaian. Mereka juga melaksanakan sistem cukai yang agak moden pada zaman itu yang dikenali sebagai pre-ferential tariff system yang meletakkan kadar dan bentuk cukai yang berbeza mengikut tempat asal pedagang tersebut (Wahid, 1990).

Dasar luar Melaka dilihat jelas dan teratur melalui sistem percukaian itu sendiri. Negara yang dianggap sahabat dan memiliki hubungan rapat dengan Melaka dikenakan cukai yang rendah. 

Manakala, Negara yang aktiviti perdagangannya menguntungkan Melaka tidak perlu dikenakan cukai yang tinggi (Wahid, 1990). Kutipan cukai kastam di Melaka menyumbang hampir 90% daripada pendapatan kerajaan Melayu Melaka (Subrahmanyam, 2012).

PENUTUP

Kemajuan Melaka dalam perdagangan, pelabuhan, maritim, teknologi, urus tadbir dan percukaian telah menujukan satu hakikat bahawa Melaka bukanlah sekadar sebuah kerajaan kecil. Ciri-ciri ini telah melayakkan Melaka sebagai sebuah kerajaan besar dan maju. Kemajuan ini di sumbang lagi dengan kekayaan hasil bumi Melaka dan kawasan-kawasan sekitarnya seperti emas, timah, perak dan lada yang menjadi sumber utama pencarian pedagang-pedagang antarabangsa di Melaka.

*Fahmi Bahruddin- Pegawai Penyelidik, IRIS


No comments: