Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ini akan melibatkan jumlah bayaran sebanyak RM406 juta kepada semua anggotanya seramai 842,847 untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019.
Pembayaran dividen ini akan dibuat pada 29 Mac, 2020
Beliau berkata, daripada jumlah itu, RM382 juta melibatkan pembayaran kepada 840,590 anggota individu, manakala RM24 juta akan dibayar kepada 2,257 anggota koperasi.
“Bank Rakyat sentiasa prihatin terhadap keperluan anggotanya yang mana 30% penerima individu terdiri daripada golongan B40, manakala 20% penerima anggota koperasi turut terdiri daripada golongan B40,” katanya yang mengumumkan dividen Bank Rakyat di sini, hari ini.
Wan Junaidi berharap pembayaran dividen ini akan dapat membantu meringankan beban kewangan kepada anggaran 5.1 juta rakyat Malaysia (berdasarkan 4 orang seisi keluarga) pada saat negara dilanda penularan pandemik Covid-19 yang turut menjejaskan pendapatan serta ekonomi negara.
“Saya mengucapkan tahniah kepada lembaga pengarah, Jawatankuasa Pengurusan serta seluruh warga kerja Bank Rakyat kerana berjaya merekodkan kejayaan yang memberangsangkan sekali lagi,” katanya.
Dalam perkembangan sama bank berkenaan merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM1.15 bilion bagi tahun kewangan yang berakhir Disember 2019 dan keuntungan sebelum cukai serta zakat sebanyak RM1.79 bilion.
Prestasi baik itu dicapai melalui pendapatan bersih lebih tinggi sebanyak 3.26% berikutan pertumbuhan pendapatan operasi teras dan kos dana yang lebih rendah sebanyak 1.62% hasil daripada penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada separuh kedua 2019.
Ketua pegawai eksekutifnya, Rosman Mohamed berkata, prestasi mampan itu juga dicapai menerusi asas yang kukuh dan fokus dalam aktiviti teras kumpulan serta inisiatif berterusan untuk meningkatkan baki akaun semasa dan akaun simpanan (CASA).
No comments:
Post a Comment