Monday, March 23, 2020

Kerajaan digesa pantau orang tengah selepas setuju turun harga topeng

Bekalan peralatan perlindungan diri perubatan sukar didapati 
di pasaran kerana orang tengah dipercayai mengambil kesempatan.
 
PETALING JAYA: Kerajaan didesak mengambil tindakan tegas ke atas orang tengah yang menaikkan harga topeng dan peralatan perlindungan diri ketika negara berdepan krisis penularan wabak Covid-19.

Sebilangan doktor mendakwa menerima panggilan daripada petugas barisan hadapan meminta peralatan tersebut seiring dengan laporan kekurangan bekalannya hatta dalam kalangan petugas perubatan.

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata hari ini bahawa kerajaan bersetuju untuk menurunkan harga siling topeng di bawah RM2 sekeping.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam, Jacob George bagaimanapun berkata, topeng dijual pada RM2 sehingga RM5 sekeping, selain menambah bahawa ia sukar didapati di pasaran.

Ketua pegawai eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Dr Paul Selvaraj, bersependapat bahawa bekalan topeng sukar didapati di pasaran.

“Kebanyakan peniaga mewajibkan pelanggan memakai topeng sebelum memasuki premis mereka , namun tidak ada topeng dijual di pasaran,” katanya kepada FMT.

Sementara itu George berkata, beliau bercakap dengan pemain utama industri yang mengakui mengambil kesempatan atas situasi itu.

Ini adalah rancangan mereka,” katanya kepada FMT.

“Ia bukan rahsia.”

George yang mendakwa bahawa kerajaan menyedari mengenai perkara itu berkata, Putrajaya perlu mengambil tindakan terhadap golongan ini.

Pakar kanak-kanak Dr Zulkifli Ismail dan Dr Musa Mohd Nordin berkata, mereka menerima panggilan daripada rakan sejawatan di hospital awam di seluruh negara yang meminta peralatan perlindungan diri.

“Doktor yang berkhidmat di hospital awam ini adalah barisan hadapan yang berusaha mengekang Covid-19,” kata mereka dalam satu kenyataan.

Mereka menambah, ketika kebanyakan hospital seperti Hospital Sungai Buloh mempunyai bekalan mencukupi, sesetengah hospital termasuk hospital swasta berdepan kekurangan bekalan peralatan.

“Kami menerima panggilan kecemasan mengenai kekurangan topeng N95, pelindung muka, alat bantuan pernafasan, pelindung kepala dan kasut,” katanya.

Mereka menyuarakan kekecewaan berhubung penularan video petugas kesihatan terpaksa menggunakan plastik sampah dan peralatan lain sebagai alat perlindungan, sekali gus menambah bahawa keadaan itu membawa imej buruk kepada kementerian.

Mereka berkata, di Selangor sahaja sekurang-kurangnya terdapat 3 kilang yang mengeluarkan peralatan perlindungan diri itu.

“Kenapa kita tidak dengar sebarang kenyataan daripada syarikat ini?”

Ketua pengarah eksekutif Sapura Secured Technologies, Mohd Zarif Mohd Hashim berkata, Malaysia mampu mengeluarkan peralatan perlindungan peribadi yang mencukupi untuk kegunaan domestik.
“Kita mempunyai sumber yang mencukupi,” katanya kepada FMT.

“Kita hanya perlu menyelaraskan tindakan dan rantaian bekalan.”

Dalam pada itu, George mencadangkan agar kerajaan mewujudkan pasukan khas, seperti yang diwujudkan ketika penularan SARS pada 2003.

Ketua pengarah kesihatan ketika itu, Ismail Merican mengetuai pasukan berkenaan untuk mengawal keadaan,” katanya.

“Ketika ini terlalu banyak kenyataan dan begitu ramai ahli politik yang bercakap,” katanya, sambil menambah bahawa percanggahan kenyataan menimbulkan lebih banyak kekeliruan dalam kalangan rakyat.

No comments: