Sunday, March 22, 2020

Edar baki topeng percuma dari China kepada orang awam, cadang Kit Siang

MALAYSIAKINI
 
Malaysiakini
 
 
KORONAVIRUS | Lim Kit Siang hari ini meminta kerajaan mengedarkan 10 juta penutup hidung dan mulut yang diberikan Beijing secara percuma itu kepada rakyat Malaysia dengan memberikan keutamaan kepada petugas barisan hadapan yang sedang memerangi wabak Covid-19.

Katanya, dengan pengedaran topeng muka secara percuma ini kepada rakyat Malaysia, kejadian orang awam diarahkan pulang dari pejabat kerajaan kerana tidak memakai topeng muka tidak berlaku lagi.

"Kerajaan perlu mengedarkan 10 juta topeng muka yang diberikan oleh kerajaan China secara percuma kepada rakyat Malaysia dengan memberikan keutamaan kepada petugas barisan hadapan.

"Selepas diedarkan kepada petugas barisan hadapan, iaitu mereka yang mengendalikan kes-kes Covid-19, pihak klinik, Kementerian Kesihatan, anggota polis, tentera, dan pegawai imigresen, baki topeng muka ini haruslah dibahagikan sama rata kepada semua rakyat Malaysia melalui pejabat ahli parlimen tanpa mengira parti politik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pemimpin veteran DAP itu menambah, ketika ini permintaan untuk penutup mulut dan hidung di negara ini melebihi bekalan sehingga memaksa kerajaan Perikatan Nasional (PN) menghentikan semua pengeksportannya, selain menggalakkan import.

Kerajaan juga, katanya, memberi kebenaran untuk menaikkan harga siling bagi produk itu.

Semalam, kerajaan mengumumkan 10 juta penutup hidung dan mulut dibawa dari China untuk membantu memenuhi permintaan dalam negara dengan mengutamakan petugas di barisan depan dalam perang melawan Covid-19.

Jika ada lebihan, bahan itu akan diserahkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan syarikah Pharmaniaga.

Menurut Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, rakyat Malaysia perlu bertindak sebagai satu negara, tanpa mengira kaum, agama, kawasan, mahupun latar belakang politik untuk memerangi wabak Covid-19.

"Perkembangan global mengenai wabak ini terus menjadi semakin suram dan pada masa sama menimbulkan persoalan sama ada Malaysia dan dunia bersedia untuk menghadapi penularan di peringkat yang lebih teruk pada masa mendatang," katanya.

No comments: