Selasa, 8 Januari 2019

Sultan Muhammad V beri ruang luas kepada sistem demokrasi Malaysia – Anwar

THE MALAYSIAN TIMES
 


KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia, khususnya warga Parti Keadilan Rakyat (PKR) menjunjung kasih setinggi-tingginya atas jasa dan khidmat Sultan Muhammad V selama bertugas sebagai Yang di-Pertuan Agong XV, yang antara lain telah memberi ruang luas kepada sistem demokrasi di negara ini hidup subur.

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata seluruh rakyat berasa terkejut dan hiba atas pengunduran diri baginda daripada takhta Yang di-Pertuan Agong.

“Sesungguhnya Tuanku sinonim dengan sikap tawadu dan mesra, dan telah memberi ruang yang luas kepada pertumbuhan sistem demokrasi di Malaysia dengan memastikan berlakunya perubahan tampuk kuasa yang pertama kali dalam sejarah Malaysia secara aman, teratur dan damai.

“Dan atas nama peribadi dan keluarga, kami menjunjung kasih Tuanku di atas perkenan Tuanku mempercepatkan proses pengampunan di bawah Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan sejurus selepas Pilihanraya Umum-14 yang lepas.

“Akhir kalam, adalah didoakan ke hadrat Allah SWT agar Tuanku dikurniakan kesejahteraan dan seterusnya selamat bersemayam selaku Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Tiada ulasan: