Saturday, January 26, 2019

Raja Troll perli Azmin, Guan Eng tiada 'WhatsApp Group'

MALAYSIAKINI

   

Bekas perdana menteri Najib Razak menyindir Menteri Kewangan Kewangan Lim Guan Eng dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamad Azmin Ali berhubung status projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bernilai RM81 bilion.

Ia selepas Lim berkata beliau terkejut dengan kenyataan Azmin bahawa projek itu telah dibatalkan.

Lim berkata, Azmin yang juga anggota parlimen Gombak mungkin tidak dimaklumkan mengenai perkara-perkara tertentu yang telah diputuskan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Najib yang kini dikenali sebagai ‘Raja Troll’ di kalangan pengikutnya menasihati kedua-dua pemimpin itu agar mempunyai hubungan komunikasi yang baik.

“Betullah, mereka tak ada WhatsApp group. Tapi sejak tahun 1876 dah ada telefon,” tulis Najib di Facebooknya, hari ini.

Najib turut berkongsi nombor telefon pejabat Lim dan Azmin supaya kedua-duanya dapat saling berhubung.

“Guan Eng, ini nombor pejabat Azmin Ali : 03-88727170 (dan) Azmin, ini nombor pejabat Guan Eng : 03-88823007.

“Sekurang-kurangnya telefonlah sekali sekala,” tambah MP Pekan itu lagi.

Di Twitter pula, Najib memaparkan tangkap layar petikan berita dari portal Malaysia Gazzate bertajuk “Guan Eng terkejut dengan Azmin umum kontrak CCCC batal”.

'Azmin terkejut mengapa Guan Eng terkejut'

Najib yang kini digelar 'Bossku' - suatu slanga bagi anak-anak muda di kalangan pengikutnya - dengan seloroh berkata:

“Tak lama nanti keluarlah berita: 'Azmin terkejut mengapa Guan Eng terkejut kontrak CCCC terbatal',"

Sementara itu, Presiden MCA Wee Ka Siong melalui Facebooknya juga berkongsi berita yang sama dengan kapsyen berbunyi sarkastik:

“Hari Terkejut Malaysia bagi tahun 2019 tidak lagi disambut pada 3 September seperti tahun lalu.

“Nampaknya Hari Terkejut Malaysia 2019 telah dipinda dan disambut pada hari ini iaitu tanggal 26 Januari 2019,” katanya.


No comments: