PRK Cameron Highlands bukti Melayu, Bumiputera tolak DAP
BANGI
– Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK)
Cameron Highlands, membuktikan orang Melayu dan Bumiputera yakin UMNO
dan PAS adalah sandaran terbaik dalam memperjuang kepentingan mereka di
negara ini, tanpa menafikan hak kaum lain.
Bahkan, ia juga adalah permulaan
penolakan terhadap Pakatan Harapan (PH), apabila rakyat mula menunjukkan
pendirian tegas mereka terhadap prestasi PH yang teruk.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed
Khaled Nordin yakin orang Melayu dan Bumiputera tidak akan terpedaya dan
memilih parti seperti DAP, yang jelas menolak konsep kedudukan khas
Melayu dan Bumiputera melalui ideologi Malaysian Malaysia.
“Apatah lagi DAP dilihat hanya
memfokuskan kepada kepentingan masyarakat Cina semata-mata. Semua kerusi
yang dimenangi DAP di seluruh Malaysia adalah daripada komuniti yang
majoriti penduduknya adalah berbangsa Cina. Ini adalah bukti paling
jelas.
“Selain itu, kemenangan ini petunjuk
jelas bahawa isu dan kepentingan orang asli bukan perkara yang boleh
diambil mudah. Orang asli bukan golongan yang boleh diperkotak-katikkan
dengan imbuhan dan ganjaran bermusim.
“Apatah lagi dihina secara terbuka
sebagai komuniti separa warganegara. Penghinaan seperti itu bukan sahaja
keterlaluan dan menggambarkan kejahilan mengenai perkara asas negara
kita, malah menunjukkan keterdesakan dan kekontangan modal politik yang
kritikal dalam DAP,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengimbau kenangan PRK Cameron Highlands, Khaled Nordin mengakui sokongan daripada PAS sangat penting untuk kemenangan UMNO.
“Lebih manis dan bermakna ialah sokongan
padu PAS kepada BN. PAS telah menjadi rakan strategik UMNO yang penting
dan perkara ini sudah pasti tidak disenangi parti kerajaan yang tidak
mahukan orang Melayu dan parti-parti pembangkang bersatu serta
bekerjasama.
“Kesepakatan UMNO dan PAS jika terus
disubur dan digembeleng dengan rapi akan mewujudkan gelombang
kebangkitan Melayu Islam yang besar, penting dan mampu melenyapkan PH.
Lebih-lebih lagi apabila orang Melayu dan Bumiputera sedar dalam PH
suara mereka adalah suara minoriti dan sering tidak dipedulikan.
“Seperti DAP yang menggunakan gelombang
penentangan masyarakat Cina untuk mengubah landskap politik Malaysia,
kerjasama UMNO dan PAS dalam PRU15 nanti akan menghasilkan gerak gempa
dan tsunami Melayu yang berkali-kali ganda lebih hebat dari ‘the Chinese
tsunami’ dalam PRU14 lalu,” katanya.
No comments:
Post a Comment