Tuesday, January 29, 2019

Jika orang asli nampak, takkan mereka ‘tidak asli’ tak nampak


KEPUTUSAN PRK Cameron Highlands sebenarnya mengejutkan ramai pihak. Mana tidaknya, melihat kepada jentera pilihan raya yang turun daripada kedua belah pihak, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), ternyata memberikan kelebihan kepada PH, bukan BN.

Semua jentera PH turun berkempen, daripada yang tertinggi sehingga yang paling rendah. Jarang berlaku dalam PRK, Perdana Menteri turut berkempen. Tetapi di PRK CH, PM sendiri turut berkempen. Begitu juga mereka yang bergelar menteri, timbalan dan lain-lain, berhadapan dengan pembangkang yang rata-rata bermodalkan air liur.

Ikut kertas, PH memang akan memenangi PRK ini. Namun, kuasa Allah adalah segalanya. Barisan Nasional, bukan sahaja menang, tetapi majoritinya turut meningkat. Terkejut dengan kemenangan BN, maka berbagai ulasan yang berat sebelah dilontarkan. Bersentimen dan beremosi kerana tidak puas hati dengan kekalahan PH. Zaman bodek membodek sehingga maruah entah ke mana.

Lebih hina lagi, ada seorang pensyarah bernama Dr Mazlan (UTM) yang mengaitkan dekatnya tarikh PRK CH dengan Tahun Baharu Cina yang akan disambut 10 hari lagi daripada tarikh mengundi PRK CH, yang menyebabkan peratusan mengundi orang Cina rendah. Ternyata beliau amat naif dalam memahami psiki dan budaya masyarakat Cina. Jika tidak faham isu, lebih baik diam. Apatah lagi bercakap soal silang budaya. Saya selaku orang Cina, amat memahami sentimen orang Cina.

Apa kaitan dengan PRK CH dengan Tahun Baharu Cina yang agak jauh lagi? Melihat kepada semangat ultra kiasu mereka, saya tidak fikir mereka tidak mahu balik untuk mengundi? Mereka sudah pun mengundi. Yang tidak balik mengundi itu adalah Cina yang tidak ultra kiasu, yang sudah menyampah dengan PH. Cina tidak ultra kiasu inilah Cina baik, Cina yang dapat membezakan yang mana intan dan yang mana kaca.

Sebab itu, naif sangat ulasan mengaitkan kekalahan PH dengan sambutan Tahun Baharu Cina. Mengaku sahajalah bahawa rakyat hari ini sudah semakin hari semakin meluat dan muak dengan lakonan ultra kiasu.

Mujahid Yusuf Rawa, selaku menteri di JPM (Hal Ehwal Islam) berkata, kempen menggunakan sentimen perkauman dan agama oleh BN dengan kerjasama PAS pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands menjadi punca kekalahan calon Pakatan Harapan (PH). Sentimen dimainkan pakatan pembangkang itu jelas merupakan fitnah terhadap beliau dan kerajaan PH. BN menuduh PH tidak menjaga agama, jual Tabung Haji (TH) dan ikut telunjuk DAP. Kata beliau, semua itu fitnah.

Jika itu fitnah, tangkislah. Inikan zaman siber. Gunakan alat teknologi komunikasi untuk menangkis semua itu. Bukankah kejayaan atau Pakatan Rakyat (PR) dan PH dalam PRU 12, 13 dan 14, atau disebut sebagai tsunami politik, disebabkan oleh kecanggihan alat teknologi kemunikasi. Semua maklumat dapat diakses begitu cepat melalui telefon komunikasi pintar?

Menurut Mujahid lagi, berikutan kemenangan BN pada PRK itu, pihaknya bimbang BN akan menggunakan sekali lagi sentimen perkauman dan agama pada PRK Dewan Undangan Negeri Semenyih, Selangor dan Rantau di Negeri Sembilan.

Jika menurut logik Mujahid dan ulasan beberapa pusat penyelidikan pro PH yang menggunakan fakta yang sama, apakah orang asli turut termakan kempen agama dan sentimen perkauman? Saya tidak fikir BN berkempen di kawasan orang asli membangkitkan isu agama dan sentimen kaum. Apakah kajian tidak dibuat, kenapa orang asli turut menolak PH? Jika orang asli pun nampak, takkan orang yang tidak asli tidak nampak!

Kemenangan BN minggu lalu dalam PRK Parlimen Cameron Highlands memberikan kemenangan kepada calon BN, Ramli Mohd Noor,meraih 12,038 undi, menewaskan calon PH M.Manogaran (8,800 undi), dan dua calon Bebas, Sallehudin Ab Talib (314 undi) dan Wong Seng Yee 276 undi.

Kenapa kita mahu menutup fakta bahawa rakyat telah mula bangkit. Kesatuan yang berlaku antara PAS dan UMNO, benar-benar memberikan impak kepada PRK CH. Tidak mustahil selepas ini akan turut diterjemahkan dalam PRK Semenyih dan Rantau. Kita perlu rasional dalam menilai kebangkitan rakyat.

Semasa kempen PRK CH sudah menampakkan tanda-tanda kemenangan berpihak kepada BN. Ternyata, ceramah atau kempen BN jauh lebih mendapat sambutan daripada PH.

Ini mengingatkan saya kepada kempen PAS ketika menjadi pembangkang menghadapi BN selaku pemerintah suatu masa dahulu.

Ketika itu kita dapat lihat, dalam kempen PAS, begitu ramai yang hadir berbanding dengan BN. Bila berlaku pilihan raya, bilangan dalam kempen yang ramai tidak memihak kepada PAS. Rata-rata berpihak BN walaupun ceramah mereka hambar.

Hari ini, zaman sudah berubah. Bilangan (crowd) yang hadir ketika ceramah dan kempen, itu adalah tanda kemenangan seseorang calon itu. Dalam maksud, rakyat mahu tahu, apa sebenarnya yang berlaku, apa pula yang dijanjikan oleh calon yang bertanding.

Saya tidak fikir rakyat akan termakan dengan kempen berbau hasutan, fitnah, perkauman, sentimen agama dan sebagainya, kerana ia boleh ditangkis dengan mudah?

Ingatan saya kepada PH, tidak perlu menjadi rumah siap pahat pun berbunyi. Bersedialah menghadapi PRU15 yang akan datang dengan lebih sengit dan mencabar.

Zaman sekarang, adalah zaman buat kerja, dan melakukan yang terbaik untuk rakyat dan negara selaras dengan prinsip demokrasi, bukannya sedap duduk dikerusi empuk sehingga lupa masalah rakyat jelata.

Rakyat hari ini yang menjadi petani sedang merintih disebabkan oleh kejatuhan harga komoditi. Saya difahamkan ada yang terpaksa mengikat perut kerana tidak cukup makan disebabkan harga komoditi jatuh merudum. Lebih malang lagi, minyak sawit kita turut tidak diterima di persada antarabangsa.

Hentikanlah sindrom menyalahkan BN dan Najib Razak. Lakukan yang terbaik untuk agama, bangsa dan negara. Jangan lagi menjadi kuda tunggangan ultra kiasu. Rakyat mahu melihat, apa sikap pimpinan negara, terutama yang beragama Islam, terhadap isu Allahyarham Adib yang menjadi mangsa rusuhan kuil. Jangan hanya begitu beriya-iya dengan isu Teoh Beng Hock, tetapi menikus dalam isu Allahyarham Adib.

Jangan hanya nampak NGO-NGO sahaja mempertahankan beliau. Yang lain bagaimana? Keadilan mesti diberikan untuk Adib. Begitu juga dengan isu-isu berkaitan Islam yang perlu kepada pembelaan.

Rakyat sudah dapat menilai antara PH dan BN. Begitu juga dengan kerjasama antara biru dan hijau. Kalau saya seorang peniaga makanan hari ini, pasti saya akan menjual kuih berwarna biru hijau. Kuih seri muka biru hijau, kuih lapis biru hijau atau kek berbelang biru hijau. Saya yakin, pasti laku dan berebut-rebut orang akan membelinya. Malangnya, saya bukan peniaga.

Kepada cendekiawan yang berada di menara gading, tidak usahlah bersentimen sangat dengan membuat ulasan membodek yang jelas menampakkan kenaifan diri sendiri sehingga menjadi manusia tidak bermaruah. Berkata benarlah walaupun pahit.

Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah

Profesor Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL)
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

No comments: