Tuesday, January 29, 2019

Yadim: ‘Bukan soal akademik, tapi acuan dan wadah DAP’

ISMA WEB

Pelantikan Sheikh Omar mencalarkan perasaan umat Islam: Perkasa



BANGI – Pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP, Sheikh Omar Ali sebagai anggota pemegang amanah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), wajar dikaji semula walaupun beliau mempunyai merit.

Naib Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Melaysia (Perkasa), Hassan Basri Muhammad berkata, ini kerana sebagai parti rasis yang mengamalkan dasar anti-Islam, pelantikan itu jelas membawa wadah DAP ke dalam institusi Islam.

“Kenyataan Datuk Dr Mujahid, menjustifikasikan kononnya Sheikh Omar Ali layak dilantik kerana memiliki ijazah dalam bidang usulludin, Universiti Malaya.

“Persoalannya bukan isu kelayakan akademik, walaupun menggunung ijazahnya dalam bidang pengajian Islam. Apa yang merisaukan ialah acuan pemikiran dan perjuangan liberal beliau sehingga sanggup bertoleransi dengan dasar parti DAP,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas pelantikan Adun Paloh yang juga Exco Pembangunan Keusahawanan, Koperasi dan Ekonomi Kreatif Johor sebagai anggota pemegang amanah Yadim.

Hassan berkata, tidak pernah dalam sejarah, DAP yang majoriti dikuasai bangsa Cina, melantik ahlinya sebagai anggota dalam institusi Islam tanah air.

Ia sekali gus katanya, petunjuk bahawa parti tamak haloba berkenaan sedang berusaha menguasai istitusi Islam di negara ini.

“Tidak pernah berlaku dalam sejarah negara seorang ahli DAP yang pimpinannya kebanyakannya dikuasai bangsa Cina, dilantik menganggotai sebuah agensi Islam yang berteraskan dakwah. Dalam isu ini, dibimbangi pandangannya lebih kepada menuruti dan membawa kehendak serta agenda DAP yang anti islam melalui institusi agama,” katanya,

Justeru, katanya, kerajaan perlu menilai semula pelantikan ini, kerana ia telah mencalar hati umat Islam tanah air.

“Justeru, Perkasa menentang pelantikan ini, bukan kerana Sheikh Omar Ali tidak layak dari sudut akademik ataupun merit, tetapi kerana tindakan itu mencalar hati dan perasaan umat Islam.

“Lebih buruk lagi, ini sekali gus ternyata akan menggugat keharmonian tanah air, kerana mencalari kepercayaan rakyat khususnya umat Islam. Kerajaan didesak bertindak demi mengekalkan keselamatan dan kestabilan negara,” katanya.


No comments: