Thursday, January 31, 2019

PH perlu pecah hak eksklusif, monopoli Bernas - Khairuddin

Astro Awani
PH perlu pecah hak eksklusif, monopoli Bernas - Khairuddin
KHAIRUDDIN: Dengan hanya memiliki 28 buah kilang dari 191 pengilang beras berdaftar, mengapa kerajaan harus sambung hak monopoli kepada Bernas? - Gambar AWANI / SHAHIR OMAR
 
 
KUALA LUMPUR: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) harus menjalankan 'audit luaran' bagi memantau keberkesanan peranan Padiberas Nasional Bhd (Bernas) yang sudah semakin tidak relevan kini.

Penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, Bernas seharusnya menambah pelbagai kemudahan kepada pesawah secara menyeluruh di seluruh negara setelah begitu lama memegang hak eksklusif serta monopoli dan mengambil alih peranan Lembaga Padi Negara (LPN).

"Dengan hanya memiliki 28 buah kilang dari 191 pengilang beras berdaftar, mengapa kerajaan harus menyambung hak monopoli kepada badan ini? Apakah yang boleh kita kagumi dengan pencapaian Bernas kepada warga pesawah?

"Jumlah kecil kilang padi milik Bernas akan menyukarkan para pesawah menjual padi-padi mereka. Akhirnya, kerana kekurangan kilang milik Bernas dan dari logistik yang jauh dengan kawasan-kawasan sawah; para petani terpaksa menjual hasil mereka kepada kilang-kilang swasta.

"Kenyataan Bernas sudah cukup bukti dan kukuh untuk kerajaan menamatkan 'monopoli' mereka dalam industri beras negara," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu.
 
BACA: Kerajaan perlu pantau isu Bernas lambat bayar pesawah - Khairuddin

BACA: 
Kami tidak pernah abai kepentingan rakyat - Bernas

Terdahulu, Bernas menasihatkan pesawah menjual hasil padi mereka di kilang-kilang beras Bernas yang berhampiran di mana pembayaran untuk belian padi dijamin badan itu, atau menjual hasil padi mereka di kilang-kilang swasta yang mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh.

Dalam kenyataan itu, Bernas memaklumkan, ia bertujuan bagi menjamin perolehan pendapatan yang stabil dan berterusan.

Dalam pada itu tegas Khairuddin, lambakan beras import kini begitu banyak dan harga yang lebih murah berbanding beras tempatan.

"Bagaimana nasib pesawah negara jika Bernas mengimport beras dari luar dengan kuantiti yang banyak dan seterusnya melambakkan di pasaran pada kadar harga yang lebih murah dari beras tempatan?

"Bernas lebih mementingkan keuntungan komersial dari melaksanakan tanggungjawab sosial kepada pesawah kita," jelasnya.

Tambahnya, pertemuan dengan semua pengilang-pengilang beras bumiputera di seluruh negara akan dibuat dalam masa terdekat bagi memahami secara lebih lanjut permasalahan mereka dengan Bernas.

"Selepas itu kami akan membuat penjelasan mengenai kepincangan peranan Bernas kepada warga pesawah di negara ini.

"Dalam apa jua situasi, monopoli Bernas mesti dipecahkan untuk mewujudkan persaingan yang lebih efisien dalam industri beras nasional.

"Tolong kerap turun ke padang bagi mendengar serta memahami permasalahan pesawah di seluruh negara," katanya.

Bernas sebelum ini memaklumkan, akan terus melestarikan tanggungjawabnya kepada rakyat dalam mengawasi perkembangan industri padi dan beras negara.

Ia termasuk antaranya dalam sektor pengimportan beras, pengurusan dan pembayaran subsidi kepada petani, menguruskan Skim Pengilangan Padi Bumiputera, membeli padi daripada petani pada harga minimum terjamin dan bertindak sebagai pembeli terakhir padi daripada petani.

Terdahulu, Khairuddin mahu Kerajaan PH memantau dan mengambil tindakan ke atas Bernas yang didakwa lambat membuat pembayaran kepada pesawah yang menjual padi kepada kilang di kawasan setempat. 
 
 

No comments: