DI Malaysia, harga durian paling mahal pernah dilaporkan adalah sekitar RM100 untuk durian Musang King.
Ia bukan satu perkara pelik kerana saiz dan rasanya yang sering dilabel sebagai yang terbaik.
Namun Musang King sudah ada pesaingnya. Sejenis durian yang dinamakan J-Queen kini mungkin durian termahal di dunia apabila harganya mencecah RM4,000!
J-Queen dijual di sebuah pasar raya di Jawa Timur, Indonesia dengan harga 14 juta Rupiah, atau RM4,036.
Menurut laporan portal The Guardian, seorang pelajar psikologi bernama Aka didakwa orang yang bertanggungjawab menghasilkan durian itu melalui kaedah crossbreeding daripada pelbagai jenis durian yang diambil dari seluruh Indonesia.
"Niat saya adalah untuk meningkatkan pendapatan petani dengan mewujudkan sejenis durian yang hebat," kata Aka yang mengakui mempunyai enam kebun durian di Jawa Timur.
Keistimewaan J-Queen, kata Aka, adalah ia hanya berbuah tiga tahun sekali dan setiap pohon hanya akan mengeluarkan tidak lebih daripada 20 biji buah durian.
Malah, Aka juga mendakwa buah durian itu mempunyai "sedikit rasa seperti mentega kacang", lapor The Guardian.
Media Indonesia melaporkan, dua biji buah durian J-Queen sudah dibeli pelanggan selepas ia mula dijual hujung minggu lalu.
No comments:
Post a Comment