Friday, January 25, 2019

Menteri kecam MB Pahang beri permit guna tanah

MALAYSIAKINI

   

PRK CAMERON | Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar mengecam pemberian permit penggunaan tanah oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail kepada 73 pekebun di Cameron Highlands.

Katanya, daripada 146 hektar tanah yang terlibat, ada kawasan yang tergolong dalam kawasan Hutan Simpan Kekal Daerah Cameron Highlands yang perlu direhabilitasi kembali kepada hutan semulajadi.

“Tambahan pula, kawasan tersebut telah diusahakan secara haram sejak puluhan tahun yang lalu.

“Aktiviti sebegini akan menggalakkan pencerobohan hutan yang berleluasa dan boleh mengakibatkan masalah alam sekitar yang serius seperti banjir dan tanah runtuh seperti yang dialami pada tahun 2013,” katanya dalam satu kenyatan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Berita Harian bertajuk “73 pekebun Cameron Highlands dapat permit penggunaan tanah” bertarikh 23 Jan.

Sementara itu, beliau turut menyifatkan kenyataan Rosdy untuk menyelesaikan isu tanah di Cameron Highlands sekiranya BN memenangi PRK tersebut sebagai tidak bertanggungjawab.

'Boleh ditafsir umpan pengundi'

Xavier berkata, kenyataan Rosdy itu merupakan kesalahan di bawah Seksyen 9 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan tertakluk di bawah Akta Penyalahgunaan kuasa di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

“Beliau tidak seharusnya mengikuti jejak mantan perdana menteri (Najib Razak) dalam mengatakan “You help me, I help you” kerana ia boleh ditafsirkan sebagai mengumpan pengundi di Cameron Highlands.

“Sebarang isu tanah seharusnya diselesaikan oleh kerajaan negeri, tanpa mengira sama ada penduduk mengundi Pakatan Harapan atau parti lain,” tambahnya lagi.


No comments: