Saturday, January 26, 2019

“Lagi banyak awak bercakap, lagi banyak hal awak buat” – Calon BN

THE MALAYSIAN TIMES
 


TANAH RATA: Sepanjang dua minggu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands berlangsung, calon Barisan Nasional, Ramli Mohd Nor tidak banyak bercakap dan antara calon yang dilihat susah didekati media.

Bagaimanapun, Ramli, 61, bekas pegawai kanan Polis Diraja Malaysia, hari ini menjelaskan beliau sebenarnya bukan tidak suka kepada media, sebaliknya mempunyai sebab tersendiri untuk berbuat demikian.

“Penjelasan saya mudah kenapa saya buat keputusan untuk kurang bercakap. Saya tak mahu jatuh dalam perangkap Pakatan Harapan (PH).

“Ada peribahasa Melayu yang mengatakan ‘lagi banyak awak bercakap lagi banyak awak buat hal’,” katanya kepada pemberita di luar Sekolah Kebangsaan Menson, dekat sini, satu daripada pusat mengundi PRK berkenaan.

Beliau bagaimanapun tidak memasuki pusat mengundi ketika tiba pada kira-kira pukul 11 pagi, sebaliknya meluangkan masa kira-kira 15 minit di bilik operasi BN berdekatan pusat mengundi itu.

Ditanya mengapa beliau tidak mengundi pada hari ini, Ramli menjelaskan beliau baru bersara daripada perkhidmatan dan belum menukar alamat rumahnya.

Selain Ramli, turut tidak mengundi pada PRK berkenaan ialah M Manogaran, 60, yang mewakili PH.
Hanya dua calon yang mengundi hari ini iaitu petani, Wong Seng Yee, 40, dan bekas pensyarah di Institut Aminuddin Baki, Sallehudin Ab Talib, 61, kedua-duanya bertanding sebagai calon Bebas.

Wong yang hadir seawal pukul 7.50 pagi di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Bertam Valley untuk mengundi berkata beliau berpuas hati dengan perjalanan kempen selama dua minggu yang berakhir pada pukul 11.59 malam semalam.

“Saya dapat belajar banyak dan dapat dengar banyak masalah terutama isu tanah di kalangan masyarakat Melayu, Cina, India dan Orang Asli yang perlu diberi perhatian,” katanya.

Walaupun tidak mengharapkan kemenangan, Wong yang merupakan pengusaha kebun bunga kekwa, terkejut dengan penerimaan pengundi Cameron Highlands terhadapnya, terutama di kawasan Dewan Undangan Jelai, kawasan majoriti Melayu.

“Saya hairan, bila saya turun, mereka kenal saya, dan panggil saya Abang Topi,” katanya yang sinonim dengan kasut but kuning ‘Phua Chu Kang’ dan topi jerami peladang.

PRK berkenaan yang diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 30 Nov lalu mengisytiharkan kemenangan Datuk C. Sivarraajh daripada BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 bagi parlimen itu, terbatal dan tidak sah, menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan dan BN serta dua calon bebas.—Bernama

No comments: