SPRM hari ini mendapat kebenaran bagi menahan reman seorang bekas pengerusi agensi kerajaan selama empat hari bagi membantu siasatan salah guna kuasa membabitkan kontrak kerajaan bernilai lebih RM99 juta.
Turut direman, seorang wanita iaitu ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat swasta bagi membantu siasatan berkaitan kes sama.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin di Mahkamah Majistret di Putrajaya, hari ini.
Semalam, adalah dilaporkan SPRM menahan bekas pengerusi agensi kerajaan berusia 64 tahun itu kira-kira jam 5.50 petang dan CEO wanita berusia 32 tahun itu kira-kira jam 5.20 petang di ibu pejabat SPRM di sini selepas mereka hadir memberi keterangan.
Menurut sumber, bekas pegawai agensi kerajaan tersebut disyaki menggunakan jawatan dan kedudukannya sebagai pengerusi, dalam mencadangkan sebuah syarikat secara lantikan terus.
Katanya, ini dilakukan dalam projek kempen pengiklanan digital bagi pasaran China bagi tempoh 2018-2020 yang dianggarkan berjumlah lebih RM99 juta yang menggunakan peruntukan agensi kerajaan tersebut.
Siasatan dibuat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 kerana kesalahan menggunakan jawatan atau kedudukan untuk suapan pegawai badan awam.
Terdahulu, kedua-dua suspek tiba di mahkamah pada jam 9 pagi dengan memakai baju lokap SPRM serta tangan bergari.
Pada Jun tahun lalu, SPRM muncul di sebuah kementerian dipercayai berkaitan dengan kontrak ditandatangani agensi kerajaan itu dengan sebuah syarikat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan