Saturday, January 26, 2019

KBS kaji selaraskan skim insurans atlet negara

MALAYSIAKINI

   


Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengkaji skim insurans untuk atlet negara bagi diselaraskan di dalam program sukan di bawah Majlis Sukan Negara (MSN).

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata satu pusat sehenti juga akan ditubuhkan pada tahun ini untuk memudahkan komunikasi antara atlet negara dan pengurusan sukan di negara ini.

"KBS melalui MSN akan terus menambahbaik urusan kebajikan atlet-atlet negara termasuk selepas tamat daripada program sukan bersama MSN," katanya dalam posting terbaharu dalam laman Instagramnya.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq menjelaskan KBS akan terus memperkasakan kerjasama dengan universiti tempatan dan institusi yang menawarkan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dengan memberikan biasiswa, selain memudahkan atlet negara meneruskan pembelajaran sewaktu menjalani latihan di institusi terlibat.

"Akhir tahun lepas kita dapat menjalinkan hubungan dengan dua lagi universiti (keseluruhan tujuh). Sasaran kita adalah satu universiti di setiap satu negeri di seluruh Malaysia pada hujung tahun 2019.
Fleksibiliti belajar dan biasiswa,"jelasnya.

Syed Saddiq sebelum itu mengadakan perjumpaan dengan dua bekas atlet berbasikal paralimpik negara, Shukor Farhan Suliman dan Mohd Nur Syafiq Suhaimy, Jumaat malam dan berjanji akan membantu mereka selepas ditamatkan kontrak oleh MSN.

Shukor, 23 dan Mohd Nur Syafiq, 27 dilaporkan terpaksa menjual buah jambu dan terlibat dalam perniagaan gunting rambut selepas kontrak mereka ditamatkan oleh MSN.

Shukor ditamatkan kontrak kerana gagal meraih sebarang pingat pada Sukan Para Asia 2018 dan masalah disiplin manakala Mohd Nur Syafiq pula disebabkan alasan tidak boleh mengayuh basikal.

Ia susulan kemalangan yang dialami Mohd Nur Syafiq sehingga menyebabkan kaki kanannya patah ketika menjalani latihan di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR) pada September 2017, iaitu sehari sebelum Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur bermula.-- Bernama


No comments: