Tuesday, January 1, 2019

Isu tunggakan gaji: MFL bantah keputusan tetapkan harga siling

Wartawan MalaysiaGazette

Kevin Ramalingam
Kevin Ramalingam

KUALA LUMPUR – Keputusan penetapan harga siling bagi mengatasi isu tunggakan gaji dalam saingan Liga Malaysia dibantah Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Ini kerana, pentadbir liga tempatan itu sudah memiliki formula untuk mengatasi masalah tersebut, yang pada masa ini menjadi punca penarikan diri beberapa pasukan.

Perkara itu ditegaskan Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam yang memberitahu pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dengan La Liga Sepanyol pada Januari tahun lepas telah menyebabkan senario bola sepak negara berubah.

Perubahan itu sekali gus mengubah konsep permainan secara La Liga sebagai wajah baharu Liga Malaysia.

Antara perubahan ialah mahu meningkatkan kualiti liga tempatan membabitkan perjalanan liga, pengurusan kelab, pelesenan kelab, pengurusan komersial dan tatacara pengurusan kewangan termasuk soal jual beli pemain.

“Kita awal-awal lagi sudah mengumumkan mengenai kerjasama dengan La Liga bagi meningkatkan mutu bola sepak Liga Malaysia dan ia memerlukan masa kerana masih di peringkat kajian.

“Kemungkinan kita umumkan pada pertengahan musim 2019 dan akan mula dikuatkuasakan pada 2020 atau 2021. Saya percaya apabila sistem baharu liga dilaksanakan nanti, pelbagai isu membabitkan soal tunggakan gaji dan pelesenan kelab boleh diatasi dengan menggunakan kaedah ini.

“Tapi sebelum itu, saya harap semua pihak bersabar dan jangan cepat melompat menyalahkan mana-mana pihak. Kita (MFL) sentiasa memantau perkembangan pasukan dan akan mencari jalan terbaik untuk mengatasi apa jua masalah yang dialami pasukan,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu Ramalingam tidak menolak kemungkinan artikel 38 La Liga turut akan diguna pakai.

Sebelum ini, isu kegagalan beberapa pasukan menjelaskan tunggakan gaji telah memaksa ada kelab yang menarik diri dalam kancah Liga Malaysia hingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan peminat, pemerhati dan pentadbir sukan tempatan. – MalaysiaGazette


No comments: