Isnin, 7 Januari 2019

Hasil cukai pelancongan akan diagih kepada k’jaan negeri pada suku pertama - Lim

MALAYSIAKINI


   
Kerajaan pusat akan membuat pembayaran agihan 50 peratus hasil cukai pelancongan kepada kerajaan-kerajaan negeri dalam suku pertama tahun ini, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata pembayaran akan dibuat setelah perakaunan hasil cukai pelancongan untuk tahun 2018 dimuktamadkan.

Beliau berkata pembayaran juga akan dilakukan tanpa mengira sama ada kerajaan negeri masih berhutang atau terdapat tunggakan hutang kepada kerajaan persekutuan.

“Ini bermakna Sarawak tetap akan menerima bayaran hasil cukai pelancongan sungguh pun Sarawak masih berhutang RM2.5 bilion, dengan tunggakan hutang hampir RM50 juta kepada Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lim berkata menurut Perlembagaan Persekutuan, Cukai Pelancongan adalah perolehan kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri tidak berhak terhadap hasil berkenaan.

“Namun, atas dasar hormat Kerajaan Persekutuan terhadap negeri-negeri, agihan 50 peratus daripada hasil cukai tersebut akan diberikan seperti yang dinyatakan dalam Belanjawan 2019 pada 2 Nov tahun lepas,” katanya.– Bernama


Tiada ulasan: