Sabtu, 5 Januari 2019

GPMS gesa bubar Pasukan Petugas Dasar UEC

Oleh Siti Fatimah Ishak

 

Tidak adil jika kerajaan rombak Dasar Pendidikan Kebangsaan hanya untuk iktiraf UEC



BANGI – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menegaskan, penubuhan Pasukan Petugas Dasar Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) tidak lagi relevan kerana bertentangan dengan pendirian Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan majoriti rakyat Malaysia.

Serentak itu, Presidennya, Zambri Mohd Isa menggesa Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik membubarkan pasukan petugas berkenaan yang ditubuhkan di bawah seliaan kementeriannya.

Beliau berkata, isu UEC bukan sahaja sensitif kepada orang Melayu, tetapi kerajaan juga harus mengambil kira perasaan bangsa-bangsa lain di Malaysia termasuk orang Cina, India dan lain-lain yang setia dan menerima sistem pendidikan kebangsaan.

“Adalah tidak adil sama sekali untuk pihak kerajaan merombak Dasar Pendidikan Kebangsaan bagi memenuhi keperluan pengiktirafan UEC, yang hanya sebilangan kecil rakyat Malaysia memilih untuk tidak berada dalam sistem pendidikan kebangsaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, Zambri berkata, GPMS bersetuju dengan kenyataan Dr Mahathir bahawa sebarang bentuk pengiktirafan UEC perlu dilihat dari faktor persekitaran semasa dan kesesuaian dari pelbagai sudut termasuk aspek tenikal dan persepsi masyarakat umum.

“GPMS menyokong penuh pendirian Perdana Menteri dalam isu UEC, dan membidas mana-mana pihak yang terus memberi tekanan serta mempertikaikan pendirian beliau dalam isu ini,” katanya.

Dr Mahathir sebelum ini dilaporkan berkata, pengiktirafan UEC perlu mengambil kira sensitiviti semua kaum dan bukan hanya kelompok tertentu sahaja.

Katanya, kerajaan sentiasa peka dan sensitif terhadap semua kaum dalam negara untuk memastikan rakyat terus memberikan sokongan.

Pengiktirafan UEC adalah antara janji dalam Manifesto Pakatan Harapan (PH).

UEC ialah sijil yang dikeluarkan Sistem Sekolah Menengah Persendirian Cina Malaysia dan pelaksanaannya tidak mengikut Sistem Pendidikan Kebangsaan

Tiada ulasan: