Sabtu, 5 Januari 2019

Anak positif dadah, Mat sabu serah kepada undang-undang

Sitifatimah 

 

Anak Menteri Pertahanan sudah dibebaskan dengan jaminan pihak polis


BANGI – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu mengesahkan anaknya ditahan selepas disyaki positif dadah ketika berada di sebuah pusat hiburan di Ampang, semalam.

Susulan penahanan itu, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa, dan mahu ianya diadili mengikut lunas undang-undang.

“Saya sudah dimaklumkan penahanan anak saya, Ahmad Saiful Islam Mohamad. Anak saya sama seperti anak orang lain juga, tertakluk kepada proses undang-undang negara,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Bagaimanapun, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Yaacob mengesahkan Ahmad Saiful sudah dibebaskan dengan jaminan polis pada jam 6 petang tadi. 

Memetik laporan Astro Awani, Zainuddin berkata, rakan kepada anak Mohamad Sabu, turut dibebaskan.

“Kedua-dua mereka dibebaskan lewat petang tadi dengan jaminan polis,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, anak kepada seorang menteri antara dua individu yang ditahan pihak polis selepas didapati positif dadah jenis ganja.

Mereka ditahan dalam serbuan yang dilakukan pasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN); Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) dan Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard (BIPS) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.


Tiada ulasan: