Friday, January 25, 2019

Baiki sekolah daif dulu, kemudian cakap tentang pendidikan pacuan-nilai, kata aktivis


Sekolah di kawasan luar bandar masih berdepan masalah ketiadaan 
kemudahan asas seperti bekalan elektrik dan air bersih. (Gambar Bernama)

KUCHING: Aktivis hak asasi di Sarawak mengingatkan bahawa penekanan terhadap nilai kemanusiaan dan positif dalam sistem pendidikan tidak akan mengatasi masalah fizikal seperti sekolah kurang kelengkapan yang menurutnya bertanggungjawab membunuh minat pelajar untuk menghadiri kelas di kawasan pedalaman.

Menurut Peter John Jaban, insfrastruktur yang daif merupakan salah satu faktor utama pelajar berhenti sekolah.

“Kenapa mereka mahu ke sekolah sekiranya kemudahan asasnya tidak ada,” soal beliau.

“Apakah gunanya menekankan nilai sekiranya atap bocor atau lantai sekolah retak? Apakah gunanya ada komputer jika bekalan elektrik tidak ada?”

Beliau memberi respons terhadap rancangan kerajaan untuk memperkukuh sistem pendidikan dengan menekankan pendidikan berdasarkan nilai positif dan kemanusiaan.

Beliau memberitahu FMT bahawa kanak-kanak yang tinggal di kawasan pedalaman negeri itu terpaksa berjalan jauh beberapa kilometer, kadang-kadang dengan berkaki ayam, untuk sampai ke sekolah.

“Mereka terpaksa berjalan menyeberangi jambatan dan jalan balak yang tidak selamat,” katanya, dan menambah banyak sekolah berasrama dan kuarters guru juga berada dalam keadaan daif.

Katanya, ketiadaan bekalan air bersih juga merupakan satu lagi masalah yang dihadapi kebanyakan pentadbir sekolah di kawasan luar bandar

“Mereka sangat bergantung pada air hujan dan jika ia habis, pelajar akan pergi ke sungai berdekatan bagi mendapatkan bekalan air.

“Tidak selamat untuk menggunakan air sungai kerana pelepasan sisa industri daripada kilang papan dan kelapa sawit di bahagian hulu yang menyebabkan ramai pelajar terkena penyakit kulit,” katanya.

No comments: