UMNO Jabi kitar semula isu
kafir-mengkafir dengan bermodalkan ceramah Zulkifli Nordin. Orang PAS
kenal Zulkifli Nordin. Hamba Allah ini tak lulus tapisan Majlis Syura
Ulama PAS untuk jadi calon PAS dalam pilihan raya. Tentu ada isu besar
yang menyebabkan MSU membuat keputusan begitu. Dia masuk PKR dan jadi
calon PKR. Lepas itu keluar PKR masuk Umno. PRU 13 bertanding sebagai
calon BN Shah Alam dan kalah besar.
Saya perjelaskan semula isu ini. Isu
perpecahan dalam masyarakat antara PAS dan Umno kembali dibuka. Besut
kawasan tanah tumpah darah saya antara tempat yang menyaksikan
pertembungan panas dan keras ekoran perbezaan pegangan politik.
Selalunya PAS yang menjadi mangsa dan kambing hitam. Kononnya PAS adalah
punca segala perpecahan ini.
Orang selalu terlupa bahawa PAS adalah
mangsa. Di zaman pertembungan panas dulu, Umno bagaikan tak boleh terima
bila ada orang kampung yang bukan Umno. Orang yang menyokong PAS
dilihat dengan penuh seteru dan kebencian.
Pengikut PAS dianiaya. Hak mereka
dinafikan. Seingat saya, ayah seorang pesawah tak pernah dapat rasa baja
subsidi padi. Borang anak sekolah pun JKKK tak nak tandatangan. Ini
bukan cerita lama, bekas YB Jabi Ramlan Ali pernah tandatangan tak
sokong untuk anak orang PAS terima bantuan awal Yayasan Terengganu untuk
masuk IPT.
Cerita program PAS diganggu Umno semua
orang tahu. Ceramah PAS dihalang serta disekat. Diganggu dengan pelbagai
aneka ragam gangguan. Cerita ugut-mengugut bukan rahsia. Samseng pemuda
tahan lasak Umno menunjukkan lagak sehabisnya. Sehingga ada orang PAS
kena kapak kecik di kepala.
Kakitangan kerajaan seperti guru-guru
yang menyokong PAS ditukar terpelanting ke ceruk hulu. Ahli PAS
ditangkap, ditahan, malah pernah dibunuh. Penceramah PAS terpaksa ke
mahkamah kerana alasan tiada tauliah dan pernah ke penjara.
Berhadapan dengan semua tindakan keras
ini, tak munasabah orang PAS nak terima dengan senyum dan ucapan terima
kasih. Tindakan yang keras biasanya mengundang tindak balas keras. Isu
yang menjadi punca keretakan hubungan dalam masyarakat bukannya
kafir-mengkafir. Tapi isu ketidakadilan, penindasan, tekanan dan
kezaliman dari pihak yang berkuasa bernama Umno. Maka jangan salahkan
PAS atas sejarah silam ini.
Kafir-mengkafir hanya isu picisan yang
ditimbulkan segelintir kecil individu dan bukannya keputusan PAS. Malah
mereka yang suatu ketika dulu begitu bersemangat mengkafirkan Umno, kini
telah berada dalam Umno dan sebahagian mereka mati sebagai ahli
Umno. Dalam konteks Dun Jabi, solat Jumaat di masjid tertentu yang
dikuasai PAS bukannya kerana kafir-mengkafir dan tak boleh solat bersama
orang Umno.
Masjid Lama Jabi tempat diadakan solat
Jumaat ialah sebuah masjid lama yang dikenali sebagai Masjid Lama Jabi.
Boleh semak balik sejarah diadakan solat Jumaat di Masjid Lama Jabi yang
diadakan lebih dulu dari masjid kerajaan di Jabi.
Masjid Tok Dat antara tempat solat
Jumaat yang dikuasai orang PAS. Perlu dimaklumi bahawa di Kampung Tok
Dat Jabi tak ada masjid kerajaan. Hanya sebuah masjid milik orang PAS
yang ada. Di masjid inilah diadakan solat Jumaat.
Satu lagi tempat solat Jumaat ialah
Masjid Matlain Badrin di Kampung Pasir Tawar Jabi. Di kampung ini juga
tiada masjid kerajaan. Dengan didirikan solat Jumaat di Masjid Matlain
Badrin, ianya memberi rahmat dan kemudahan kepada penduduk sekitar
Kampung Pasir Tawar.
Sejarah lama perpecahan sudah berlalu.
Sekarang masyarakat kampung hidup dengan harmoni walau berbeza fahaman
politik. Boleh pergi mari bila ada sakit mati, kenduri kendara. Orang
yang masih menimbulkan isu perpecahan ini sebenarnya ketinggalan zaman.
Budaya Politik Matang dan Sejahtera yang
dibawa PAS sekarang telah meningkatkan lagi momentum ini. PAS nak
mengajak masyarakat mencari kesejahteraan bersama Islam. Bukan nak ajak
orang ramai berpecah.
*DR AZMAN IBRAHIM , Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
No comments:
Post a Comment