Oleh Ainor Rahim
KUALA LUMPUR: Naib Presiden Amanah Husam Musa mengalami 'tekanan jiwa'
apabila mengeluarkan kenyataan haram jika memberi undi kepada PAS, kata
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Tuan Ibrahim dalam nada sindirannya turut mempersoalkan kenyataan Husam, yang seolah-olah menentukan dosa dan pahala seseorang.
Tuan Ibrahim merujuk kepada kenyataan Husam yang baru-baru ini lantang
berkata, haram mengundi PAS pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan
datang, sebaliknya pahala jika memberikan undi kepada Pakatan Harapan
(PH).
"Pahala ini bukan dekat kita. Dulu Datuk Husam bersama dengan PAS 30
hingga 40 tahun dia bagitahu bila bersama PAS dapat pahala. Sekarang
bila dia keluar, dia kata tak dapat pahala. Seolah pahala itu ikut dia.
Dimana dia berada maka ada pahala. Siapa yang lawan dia maka anggap
(begitu).
"Saya fikir dia dalam tekanan jiwa sebab bila satu masa PAS dikritik
kononnya mengaitkan soal pahala dan dosa, tiba-tiba dia pun buat. Bagi
PAS kita tak perlu layan benda-benda yang begitu. PAS banyak agenda
besar dan banyak perkara yang kita perlu fokus. Kita tidak perlu masa
dengan perkara-perkara tersebut," katanya dalam temubual ekslusif
bersama Antarapos.
Tuan Ibrahim turut berkata, jika seseorang wakil rakyat berjuang dengan
penuh ikhlas, maka pahala dosa merupakan hak ketentuan Allah SWT
bukannya individu.
Bekas naib presiden PAS itu yang kini bersama parti serpihan Amanah itu
menerusi satu ceramah di Kuala Krai baru-baru ini berkata, haram jika
'memangkah' bulan pada PRU14 nanti yang menongkat Umno-Barisan Nasional
(BN).
Sebelum ini, sikap lunak PAS terhadap Umno-BN dalam isu kemanusiaan
mengundang tuduhan PH yang tidak menolak dua parti itu sedang berunding
untuk kerjasama.
Bagaimanapun pimpinan PAS menolak dakwaan sedemikian, namun mengatakan
ia terbuka dengan sebarang kerjasama dengan Umno dalam isu-isu berkaitan
Islam dan perpaduan Melayu.
Tuduhan kepada Nik Abduh tak munasabah
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai isu audio didakwa
mempunyai kaitan dengan Nik Abduh Nik Abdul Aziz, Tuan Ibrahim
beranggapan tuduhan itu merupakan satu fitnah yang tidak munasabah.
"Saya fikir PAS tak perlu ambil 'port' pasal benda itu sebenarnya. Kita
anggap benda ini sebagai ruang-ruang fitnah menjelang pilihan raya dan
mungkin lebih teruk lagi dari itu akan berlaku.
"Bagi PAS kita anggap isu ini tidak jadi isu sangat. Kita pun anggap
dah selesai, penafian telah dibuat oleh orang berkenaan. Bahkan sebelum
ini dituduh 90 juta, bergabung dengan Umno, macam-macam tuduhan.
"Sepatutnya beliau yang buat tuduhan beliau harus kemukakan bukti.
Jangan suruh orang lain untuk bukti. Sekarang satu budaya, kita buat
tuduh tetapi kalau tak betul selesai di mahkamah. Satu kerja,"
tambahnya.
Terdahulu, Nik Abduh terpalit dengan dakwaan menerima wang daripada Umno menerusi satu petikan audio mengaitkan beliau.
Susulan itu, Husam tampil dengan berkata, rakaman itu tidak ada
kena-mengena dengan dirinya, namun menegaskan beliau juga memiliki
salinan yang dipercayai sama.
Husam yang juga pengerusi PH Kelantan menegaskan dia sebelum ini
bercadang untuk mendedahkannya selepas parlimen dibubarkan dan sedia
bertanggungjawab atas rakaman berkenaan.
Bagaimanapun Nik Abduh menafikan sekeras-kerasnya suara dalam rakaman
itu adalah dirinya, malah menganggap ia sebagai karut dan fitnah ke atas
dirinya serta PAS.
No comments:
Post a Comment