Oleh Ainor Rahim
KUALA LUMPUR: Seorang pemimpin tertinggi PAS menggesa Menteri Besar
Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, supaya mengembalikan segera
peruntukan 13 wakil rakyatnya yang sehingga kini masih dibekukan.
Naib Presiden PAS, Dr Idris Ahmad mengingatkan kembali bagaimana Azmin
mendapat sokongan daripada ADUN parti itu sewaktu gerakan Langkah Kajang
pada tahun 2014 yang menyaksikan beliau diangkat menjadi Menteri Besar.
"Kita pun tidak mahu wujud satu suasana yang tidak harmoni begitu. Saya
merayu supaya pihak MB untuk berikan, kerana wang ini (rakyat) yang
akan digunakan.
"Bukankah kita dah bersetuju bahawasanya selepas krisis Langkah Kajang
itu (bahawa) PAS boleh bersetuju (jika) MB bersedia untuk bersama-sama
dalam kabinet kerajaan Selangor,? soalnya.
Langkah Kajang merujuk kepada percaturan politik PKR untuk
menyingkirkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar
Selangor pada 2014, bagi memberi laluan kepada Ketua Umum PKR, Datuk
Seri Anwar Ibrahim.
Walau bagaimanapun Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah
melantik Azmin sebagai Menteri Besar yang baru, berikutan kes mahkamah
Anwar.
Azmin dikatakan 'terhutang budi' terhadap PAS berhubung kedudukan yang disandangnya itu.
Duit itu hak rakyat
Tegas Ahli Parlimen Bukit Gantang itu, Azmin yang juga merupakan
Timbalan Presiden PKR itu sewajarnya mempertimbangkan untuk
mengembalikan semula peruntukan kepada wakil rakyat PAS sebelum Parlimen
dibubarkan.
"Kita pun tidak mahu (wang itu), kerana wang yang diberi itu wang
diundi (untuk rakyat). Wang yang diambil itu bukan secara terus dengan
wakil rakyat untuk dibelanja sebarangan, tidak ada audit sebagainya. Ia
untuk kepentingan rakyat. Saya rasa lebih baik (diberikan)," jelasnya.
Isu peruntukan dana terhadap 13 ADUN PAS masih belum diselesaikan
apabila kesemua wakil rakyat parti itu belum mendapat sebarang dana
meskipun sudah memasuki bulan ketiga (Mac) untuk 2018.
Selangor ditadbir Pakatan Rakyat (PR) yang dibentuk pada 2008 oleh PAS,
PKR dan DAP, sebelum dibubarkan pada 2015 berikutan pertikaian isu
hudud antara PAS dan DAP.
Walaupun PR dibubarkan, namun PKR terus bekerjasama dengan PAS dalam kerajaan Selangor.
Sebelum ini, Azmin juga kerap kali menegaskan, PR yang dibubarkan masih
hidup dalam kerajaan Selangor kerana ia adalah “mandat rakyat”.
Sehubungan itu, Idris juga mengharapkan pengakhiran yang baik sebelum
penggal tamat untuk Selangor, yang ditadbir dengan mandat PR dianggotai
DAP, PKR dan PAS pada Pilihan Raya Umum ke-13 lepas demi kepentingan
rakyat.
Dalam pada itu, Idris ketika ditanya dakwaan bahawa wujud campur tangan
daripada parti komponen gagasan dipimpin Azmin di negeri itu, beliau
walau bagaimanapun enggan mengulas lebih lanjut.
Sallehen dalam satu sidang medianya mendakwa mungkin wujud
campur-tangan daripada PH Pusat berhubung sekatan dana terhadap ADUN PAS
di negeri itu.
No comments:
Post a Comment