Masalah yang dijangka berlaku adalah perubahan tempat mengundi
KUALA LUMPUR – Pemilih berdaftar diminta membuat semakan maklumat pengundian selewat-lewatnya seminggu, sebelum tarikh pengundian Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi mengelakkan sebarang masalah berhubung tempat mengundi.
Beliau berkata, jika usul persempadanan semula bahagian pilihan raya dibentang dan diluluskan di Dewan Rakyat serta diguna pakai untuk PRU14, terdapat kemungkinan berlaku perubahan tempat mengundi kepada sebahagian pemilih berdaftar.
“Contohnya, sebelum ini undi di sekolah A, tetapi sebab ada persempadanan baru jika diguna pakai, mungkin bertukar ke sekolah B atau sekolah C. Jadi dia tak boleh jangka (PRU) lima tahun lepas dia di sekolah A, tidak semestinya PRU kali ini mengundi di tempat sama.
“Sebab itu semakan perlu dibuat dan menjadi tanggungjawab kepada pengundi itu sendiri bagi memudahkan semasa hari pengundian,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu ‘Nine11’ terbitan Bernama News Channel di sini, hari ini.
Khadijah berkata, meskipun borang semakan SPR disediakan di tempat-tempat mengundi, namun ia hanya menyediakan perkhidmatan menyemak nombor saluran mengundi, bukan untuk semakan daftar pemilih.
Beliau berkata, semakan boleh dibuat sama ada menerusi aplikasi mudah alih My SPR Semak, menghubungi talian 03-88927018 atau mana-mana pejabat Pilihan Raya Negeri, semakan di portal rasmi SPR atau menerusi SMS dengan menaip SPRNo. kad pengenalan dan SMS ke talian 15888.
– Bernama
No comments:
Post a Comment