Friday, March 2, 2018

Sekat peruntukan: Tiada siapa pengaruhi tindakan MB Selangor

Oleh Athirah Hanapiah
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Amanah Selangor menafikan dakwaan bahawa parti komponen di dalam Pakatan Harapan (PH) telah mempengaruhi Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung isu sekatan dana terhadap 13 ADUN PAS.
 
ADUN Morib Hasnul Baharuddin berkata, Azmin sudah cukup bijak dan berpengalaman untuk membuat sesuatu keputusan tanpa perlu dipengaruhi sesiapa.
 
"YB Azmin cukup matang, berpengalaman dan bijak untuk membuat keputusan.
 
"Itu bidang kuasanya (Azmin), pada hematnya, tanggungjawabnya.
 
"Tiada siapa boleh pengaruhinya, selama ini pun apa-apa sahaja keputusan beliau yang buat sendiri, maksudnya dengan kebijaksanaannya sesuatu keputusan dibuat mengikut pada pandangannya," katanya kepada Antarapos.
 
Terdahulu, Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehen Mukhyi ketika dihubungi Antarapos hari ini yakin bahawa wujud tekanan daripada rakan komponen dalam PH kepada Azmin dalam tindakannya yang masih membekukan dana kepada 13 ADUN PAS di negeri itu.
 
Ujar Sallehen, walaupun PH pusat mendakwa mereka tidak mencampuri urusan pentadbiran negeri Selangor, namun Sallehen percaya ada dalam kalangan ADUN atau parti di Selangor termasuk PBBM, Amanah dan DAP yang mendesak Azmin agar dana tersebut disekat.
 
Walau bagaimanapun Ketua Setiausaha Sekretariat PH Datuk Saifuddin Abdullah, membidas Sallehen yang cuba mengaitkan PH dalam isu sekatan dana ke atas ADUN PAS di Selangor.
 
Menurutnya, PH pusat langsung tiada kena mengena dengan masalah berkenaan, memandangkan ia adalah di bawah urusan pentadbiran kerajaan negeri Selangor.
 
PAS tak layak
 
Mengulas lanjut Hasnul berkata, sekatan dana terhadap 13 ADUN PAS itu adalah wajar pada ketika ini.
 
Katanya, tindakan PAS yang mahu memutuskan tahaluf siyasi bersama DAP dan PKR cukup untuk membuatkan parti itu tidak lagi layak berada dalam urusan pentadbiran di negeri Selangor yang kini di bawah pimpinan PKR.
 
"Dalam isu PAS dalam kerajaan negeri Selangor umpama duri dalam daging, jadi sudah putus hubungan dengan PKR dan DAP, keluar sahaja, apa lagi tunggu?, itu sahaja.
 
"Mandat?, sekarang ini yang mengundi pada hari itu (PRU13) ahli PAS sahaja ke? Saya juga dulu menang pada tiket PAS dengan sokongan semua kaum, saya dulu ADUN PAS, menang dengan sokongan semua kaum tapi dengan perbuatan PAS sekarang, kaum lain ramai yang sudah tidak bersetuju dengan PAS.
 
"Mungkin sebelum ini dia (Azmin) bertolak-ansur atas sebab-sebab tertentu, tetapi dalam keadaan sekarang ini PAS sudah tiada kerjasama dengan PKR, DAP dan Amanah, jadi kalau Datuk Azmin buat begitu memang sangat wajar," ujarnya lagi.
 
Isu peruntukan dana terhadap 13 ADUN PAS masih gagal diselesaikan apabila kesemua wakil rakyat parti itu belum mendapat sebarang dana meskipun sudah memasuki bulan ketiga (Mac) untuk 2018.
 
Malah, kesemua ADUN parti itu terpaksa menggunakan wang peribadi untuk menjalankan program bersama rakyat pada ketika ini.
 
Azmin sebelum ini menafikan dana itu disekat namun mengalami masalah teknikal. 
 
PAS Selangor kemudiannya menyatakan hasrat untuk berjumpa dengan Azmin bagi menyelesaikan isu tersebut namun tidak mendapat sebarang maklum balas sehingga kini.
 
 

No comments: