Thursday, March 1, 2018

PAS: Adun belanja RM693 ribu wang sendiri kerana Azmin sekat peruntukan

DETIK DAILY

 
Oleh Adam Abu Bakar

SHAH ALAM: Sembilan wakil rakyat PAS Selangor didakwa terpaksa membelanjakan kira-kira sebanyak RM693 ribu wang sendiri untuk melaksanakan program bantuan di kawasan masing-masing kerana peruntukan “disekat” kerajaan negeri.

Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehen Mukhyi berkata tindakan dan sikap Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali bertentangan dengan janji mengutamakan rakyat.

“Kita mewakili setengah juta rakyat dalam DUN masing-masing yang terdiri daripada Melayu, Cina, India dan lain-lain bangsa. Itu rakyat yang kita wakili yang memerlukan pertolongan dalam pelbagai masalah.

“Ia bukan lagi soal Adun PAS tetapi soal rakyat. Ia hak rakyat yang berada di bawah Adun PAS,” katanya pada sidang media di Pejabat Badan Perhubungan PAS Selangor hari ini.

Sallehen berkata, Adun Chempaka Datuk Iskandar Samad membelanjakan wang saku sebanyak RM197 ribu, diikuti Adun Gombak Setia Hasbullah Mohd Ridzuan (RM130 ribu) dan Adun Selat Kelang Halimah Ali (RM100 ribu).

“Saya sendiri sudah menggunakan wang sendiri sebanyak RM40 ribu,” katanya.

Sallehen hairan dengan kenyataan Azmin yang mendakwa terdapat masalah teknikal dalam pengedaran peruntukan kepada Adun PAS yang tidak dialami wakil rakyat parti-parti lain.

“Kalau menteri besar hendak beri, dia boleh beri jawapan untuk beri. Selama ini kita dengar disebabkan masalah teknikal. Kenapa masalah teknikal ini hanya kepada Adun PAS sahaja?

“Menteri besar minta rujuk kepada pegawai daerah tetapi bila rujuk diberitahu untuk rujuk kepada menteri besar. Berlaku tolak menolak dalam perkara ini,” katanya.

Sallehen berkata PAS Selangor bagaimanapun tidak akan merayu kepada Azmin untuk mendapatkan peruntukan mereka.

“Peruntukan diluluskan dalam DUN…menjadi amalan apabila diluluskan kita akan dapat. Adun lain sudah terima dan boleh buat program tetapi Adun PAS masih belum terima,” katanya.

“Jika ada masalah teknikal, apa masalahnya teknikalnya?”

Sallehen juga mendedahkan kad program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS), yang melayakkan ibu berpendapatan rendah menerima bantuan kewangan bagi pembelian barangan keperluan asas, tidak diedarkan melalui wakil rakyat tertentu tetapi melalui ketua cabang PKR di kawasan mereka.

“Sebahagian kad KISS untuk Adun masih belum diterima. Kita dimaklumkan memang ada arahan untuk tidak serahkan kad KISS kepada sebahagian Adun.

“Ada kad KISS yang diserahkan kepada ketua cabang PKR, bukannya diserahkan kepada Adun. Di kawasan saya, ketua cabang PKR yang serahkan kad KISS,” katanya. 
 
 

No comments: