Oleh Ainor Rahim
SHAH ALAM: PPBM sedang menunggu nasihat peguam berhubung notis yang
dikemukakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), selepas mengkehendaki
parti tersebut menyerahkan semua maklumat dan dokumen mengikut Seksyen
14 (2) Akta Pertubuhan 1966 atau berdepan perintah dibubarkan.
Ketua Penerangan PPBM Datuk Kamaruddin Mohd Noor memaklumkan, notis
tuntutan RoS berkenaan berada diperingkat penelitian peguam yang
mewakili parti bunga itu untuk tindakan susulan.
"Kita dah serahkan pun kepada peguam kita. Jadi dia yang akan
melihatnya dan akan menetapkan sewajarnya. Kita menunggu nasihat
daripada peguam kita sewajarnya.
"Itu kerja RoS. Kita tidak tahu apa, bagaimana dia nak buat. Itu urusan
dia, tetapi kita akan buat kerja kita seperti yang dicadang dan
dinasihat oleh peguam kita," katanya ketika dihubungi Antarapos, hari
ini.
PPBM mempunyai kira-kira lebih kurang 20 hari lagi, untuk menyerahkan
maklumat dan dokumen berkaitan minit mesyuarat semua peringkatnya
bersama penyata kewangan parti itu kepada RoS, mengikut Seksyen 14 (2)
Akta Pertubuhan 1966.
Notis berkenaan diserahkan kepada PPBM menerusi Setiausaha Agungnya,
Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh berkuatkuasa sejak 28 Februari lalu.
Ketua Pengarah RoS Surayati Ibrahim dalam kenyataannya berkata,
sekiranya PPBM gagal menyerahkan maklumat-maklumat dan dokumen-dokumen
yang diminta, katanya, tindakan susulan daripada RoS adalah mengikut
Seksyen 14 (5) Akta Pertubuhan iaitu mengeluarkan satu perintah
pembubaran ke atas PPBM.
Ujarnya, notis mengikut Seksyen 14 (2) ini dikeluarkan adalah
disebabkan aduan yang telah dikemukakan oleh ahli-ahli parti PPBM kepada
pihak RoS yang mana maklumat tersebut diperlukan bagi melengkapkan
siasatan mengenainya.
Ketika ditanya adakah tuntutan dibuat badan pendaftar pertubuhan
berkenaan akan diserahkan dalam masa terdekat, Kamaruddin mengulas
ringkas, masih ada masa untuk mempertimbangkan notis berkenaan sebelum
sebarang tindakan susulan dibuat.
"Saya pun tidak boleh nak bagi tahu bila lah kan. Kita nak kena tunggu
peguam kita punya nasihat macam mana dan kita akan bincang pandangan
daripada peguam yang akan beri nasihatnya kepada kita.
"Sekarang ini kita menunggu pandangan daripada peguam kita. Ini kan
hujung minggu. Susah sikit. Kita nak kena tunggu minggu depan macam
mana.
"Lagipun kita ada masa (lagi)," ujarnya lanjut.
RoS sebelum ini dikatakan telah menerima 430 aduan daripada ahli dan
bekas pemimpin PPBM yang tidak berpuas hati dengan Mesyuarat Agung
Tahunan (AGM) parti itu yang diaggap tidak sah dan melanggar
perlembagaan parti.
Untuk rekod, PPBM pada 30 Disember tahun lalu mengadakan AGM pertama
yang dihadiri 941 perwakilan daripada 137 bahagian di Pusat Konvensyen
Ideal (IDCC) Shah Alam.
Bagaimanapun beberapa pemimpin akar umbi tampil mendakwa kononnya AGM
PPBM 'syok sendiri' berikutan memperjuangkan kepentingan individu
tertentu dan tiada inisiatif untuk menyelesaikan kemelut dalaman parti.
Masalah PPBM itu antara punca yang merencatkan pendaftaran Pakatan
Harapan (PH) sebagai satu gabungan tidak diluluskan oleh RoS.
No comments:
Post a Comment