DETIKDAILY
Oleh DR KAMARUL ZAMAN YUSOFF
SEJAK mula ucapan alu-aluan Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk
Saifuddin Abdullah, di majlis Pelancaran Manifesto PRU 14 PH di IDCC
Shah Alam malam tadi lagi telah timbul satu keraguan besar di dalam
fikiran saya mengenai kandungan Manifesto PRU 14 PH ini yang berhubung
dengan agenda Islam dek kerana kenyataan Datuk Saifuddin bahawa G25
adalah salah satu daripada lima badan luar yang dirujuk oleh PH di dalam
penyediaan Manifesto PRU 14 PH ini.
Seperti yang kita semua ketahui, G25 adalah satu badan yang dianggotai
oleh beberapa bekas penjawat awam kerajaan yang cukup bermasalah dengan
idea utama di dalam “Surat terbuka kepada rakyat Malaysia” yang ditulis
olehnya pada 7 Disember 2014 adalah menilai kembali Undang-undang
Jenayah Syariah di Malaysia yang mengkanunkan pelbagai “dosa peribadi”
sebagai jenayah kerana ia didakwa bercanggah dengan prinsip perundangan
Islam dan melanggar kebebasan asasi manusia serta menceroboh kehidupan
peribadi rakyat.
Pelbagai kenyataan kontroversi lain G25 mendapat kritikan hebat
tokoh-tokoh agama seperti Mufti-mufti, termasuk Mufti Perak, Tan Sri
Harussani Zakaria, dan Mufti Kedah, Datuk Syeikh Muhamad Baderudin
Ahmad, yang telah dilaporkan pada 8 dan 9 Disember 2015 sebagai mendesak
G25 segera bertaubat dan G25 dimansuhkan. Begitu juga dengan Penasihat
Agama kepada Perdana Menteri, Tan Sri Abdullah Mat Zin, yang telah
dilaporkan pada 11 Disember 2015 sebagai berkata G25 boleh difatwakan
sebagai kumpulan ajaran sesat.
Buku terbitan G25, bertajuk “Breaking the Silence: Voices of Moderation -
Islam in a Constitutional Democracy”, yang di antara lainnya
mengandungi saranan-saranan supaya kewujudan sistem politik sekular
diperjuangkan, supaya peranan Islam di dalam pentadbiran kerajaan
dikurangkan, dan supaya umat Islam diberikan kebebasan untuk keluar dari
Islam (murtad), malah telah diwartakan pengharamannya melalui “Perintah
Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini)
(No. 12) 2017” pada 27 Julai 2017.
Termasuk di dalam agenda G25, yang juga menjadi agenda DAP, ini ialah
penghapusan institusi Islam seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
(JAKIM) seperti yang tertera di dalam kenyataan Ahli Parlimen Bukit
Bendera, iaitu Zairil Khir Johari, pada 27 Jun 2015 dan kenyataan ahli
G25, Tawfik Tun Dr Ismail, pada 9 November 2015 yang dikongsi oleh
Penasihat DAP merangkap Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang, di
dalam facebook dan blog beliau serta turut didukung oleh Jurucakap G25,
Datuk Noor Farida Ariffin.
Pada 6 Februari lalu, saya sendiri telah mempersoalkan komitmen PH untuk
mendaulatkan Islam di Malaysia kerana kegagalan Pengerusinya, Tun Dr
Mahathir Mohamad, mempertahankan JAKIM di dalam Sidang Media Majlis
Presiden PH hari itu kerana, bila ditanya oleh wartawan mengenai
pendirian PH terhadap JAKIM, beliau hanya menyebut: “Itu (sama ada JAKIM
itu diperlukan lagi) terpulang kepada kita kalau kita jadi kerajaanlah,
nothing is permanent (tiada yang kekal)”.
Kini, setelah meneliti kandungan Manifesto PRU 14 PH ini, maka
terbuktilah keraguan saya mengenai komitmen PH untuk mendaulatkan Islam
di Malaysia sangat berasas kerana, tidak seperti Manifesto PRU 13
Pakatan Rakyat yang umpamanya mengandungi jaminan bahawa “pengurusan
institusi Islam dikuatkan dengan peruntukan yang lebih tinggi”,
Manifesto PRU 14 PH ini tidak mengandungi sebarang jaminan begini, malah
memperlihatkan bahawa PH mendukung agenda G25.
Disebutkan secara spesifik di dalam Manifesto PRU 14 PH ini bahawa
“Kuasa Raja-raja Melayu dalam mentadbir agama dan adat istiadat Melayu
akan dikembalikan ke negeri-negeri dan campur tangan Kerajaan Pusat akan
dihentikan”, iaitu satu naratif G25, dan DAP, untuk mewajarkan
penghapusan institusi Islam di peringkat Pusat di atas alasan kononnya
ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan sedangkan pelbagai
ilmuwan, baik di bidang politik, undang-undang atau agama, telah
menghujahkan di sebaliknya.
Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Tan Sri Abdullah Mat Zin,
melalui tulisan beliau bertajuk “Pluralisme, liberal ancam institusi
Islam” di dalam akhbar Berita Harian hari ini umpamanya telah menyebut
betapa idea penghapusan institusi Islam seperti JAKIM ini adalah antara
idea kontroversi golongan liberal menyerang agensi agama Islam sekali
gus menolak apa sahaja usaha untuk mendaulatkan Islam sedangkan “JAKIM
“ditubuhkan secara berperlembagaan, menepati Perkara 3, Perkara 12(2),
Perkara 121(1A) dan Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong di bawah
Perkara 37(1) Perlembagaan Persekutuan”.
Turut disebutkan secara spesifik di dalam Manifesto PRU 14 PH ini adalah
janjinya dalam isu hak asasi, iaitu bahawa PH “akan memperbaiki dan
melaksanakan sepenuhnya Pelan Hak Asasi Manusia Kebangsaan”, “matlamat
kita ialah agar kedudukan Malaysia dalam Universal Periodic Review
menjadi lebih baik dan peningkatan prestasi kita selaras dengan
perkembangan dunia” dan “konvensyen-konvensyen antarabangsa yang sesuai
tetapi belum diratifikasi akan diratifikasikan seberapa segera,
termasuklah the International Covenant on Civil and Political Rights
1966 (ICCPR)”.
Perjuangan hak asasi ini juga adalah agenda utama G25, dan DAP, dan
boleh dibayangkan jika janji PH untuk meratifikasikan seberapa segera
konvensyen-konvensyen antarabangsa yang belum diratifikasi ini
dilaksanakan apa yang akan berlaku kepada Malaysia, sudah tentulah
pelbagai Undang-undang Jenayah Syariah tidak lagi boleh dikuatkuasakan,
sudah tentulah insiden umat Islam keluar dari Islam (murtad) akan
berleluasa, begitu juga dengan golongan seperti ateis dan LGBT yang akan
turut berleluasa. Semoga Allah selamatkan umat Islam di Malaysia dari
ancaman golongan liberal.
No comments:
Post a Comment