Thursday, March 1, 2018

Mahkamah benarkan PH cabar RoS

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan Pakatan Harapan (PH) mencabar Pendaftaran Pertubuhan (RoS) susulan kelewatan meluluskan permohonan pendaftaran gabungan itu di bawah satu logo pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
 
Peguam yang mewakili PH, Gobind Singh dan Haniff Khatri Abdulla memberitahu Hakim Datin Azizah Nawawi memberikan kebenaran untuk semakan kehakiman di kamarnya.
 
“Kami memfailkan semakan kehakiman untuk mendesak RoS memberi respon berkenaan pendaftaran kami dan kami juga mahu mendesak mereka mendaftarkan PH seperti mana dalam permohonan.
 
“Mahkamah membenarkan kami mencabar RoS dan menetapkan 15 Mac. Kami akan meminta tarikh pendengaran lebih awal memandangkan pilihan raya semakin hampir,” kata Gobind.
 
Turut hadir di mahkamah hari ini adalah Setiausaha Agung PH, Datuk Saifuddin Abdullah, Setiausaha Agung PPBM, Datuk Shahruddin Salleh, Timbalan Setiausaha Agung Amanah, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus dan Pengerusi DAP Tan Kok Wai.
 
Pada 21 Februari lalu, PH memfailkan permohonan kepada Mahkamah Tinggi terhadap RoS bagi mendesak badan itu menjawab pernyataan tentang status permohonan pendaftaran gabungan parti pembangkang itu.
 
Gobind berkata tindakan berdiam diri RoS boleh dianggap “mala fide” (berniat jahat) dan berkata dengan permohonan ini badan itu akan terpaksa menjawab pertanyaan mereka.
 
“Tiada sebab untuk RoS melewatkan pendaftaran PH,” katanya.
 
Tindakan itu difailkan secara bersama oleh Saifuddin, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution, Ahmad Kerdee dan Shahruddin.
 
Pembentukan PH diumumkan tahun lepas - terdiri daripada PKR, DAP, Amanah, dan PPBM. Parti-parti itu berhasrat untuk bertanding pada PRU14.
 
 

No comments: