MUAR: Kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Mahameru tiba di
lokasi kapal korek pasir yang tenggelam, pagi ini bagi membantu operasi
mencari dan menyelamat (SAR) 14 kru kapal yang masih hilang.
Pengarah Maritim Pangkalan Batu Pahat Agensi Penguatkuasaan Maritim
Malaysia (APMM), Leftenan Komander Maritim Muhammad Zulkarnain Abdullah
berkata KD Mahameru tiba dari Pangkalan Tentera Laut Lumut, Perak pada
pukul 7 pagi tadi dan telah memulakan kerja-kerja mengepam udara ke
dalam kapal berkenaan.
"KD Mahameru tiba di lokasi kejadian pada pukul 7 pagi tadi dengan
kekuatan anggota lebih 100 orang selain 23 anggota penyelam profesional
daripada TLDM dan lapan orang penyelam profesional persendirian selain
bantuan APMM.
Kerja-kerja mengepam udara ke dalam kapal sedang berjalan bagi
mengapungkan kapal berkenaan dan memudahkan anggota penyelam melakukan
kerja-kerja menyelamat," katanya kepada pemberita di Pos Kawalan SAR
Pantai Leka, di sini, hari ini.
Katanya, cabaran pada ketika ini adalah keadaan ombak laut yang bergelora yang menyukarkan kerja-kerja menyelam dilakukan.
"Setakat ini semuanya berjalan dengan lancar dan kita harap apabila
kita pam udara masuk ini, penyelam akan dapat masuk dengan mudah ke
dalam kapal berkenaan dari bahagian bawah.
"Usaha mengikat tali pada kapal berkenaan di bawah permukaan laut juga
turut dilakukan bagi memastikan kapal korek berkenaan kekal stabil
berikutan keadaan laut yang berombak," katanya.
Pada kejadian pagi semalam, seramai 18 kru kapal korek pasir dipercayai
milik sebuah syarikat dari China berdepan dengan detik cemas apabila
kapal mereka terbalik.
Tiga kru terselamat, seorang ditemukan lemas manakala 14 lagi
dikhuatiri hilang dan dipercayai terperangkap dalam badan kapal
berkenaan.
No comments:
Post a Comment