KUALA LUMPUR: PAS
Kawasan Bandar Tun Razak sebulat suara mencalonkan Ketua Dewan Muslimat
PAS Bandar Tun Razak, Dr Rosni Adam untung bertanding kerusi Parlimen
P.124 itu pada PRU14, sekali gus menyaksikan pertembungan tiga penjuru.
Keputusan tersebut diumumkan selepas
Mesyuarat Agung Tahunan PAS Bandar Tun Razak Kali Ke-30 yang dirasmikan
oleh Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Dato' Dr Nik Muhammad Zawawi Nik
Salleh di Darul Tarbiyah, Kampung Malaysia Tambahan, di sini pagi tadi.
"Pengumuman secara rasmi akan dibuat
oleh PAS Pusat sendiri, tapi PAS Bandar Tun Razak secara rasminya telah
mencadangkan Dr Rosni Adam sebagai calon kita untuk bertanding di sini.
Beliau juga merupakan anak tempatan di sini, telah dibesarkan di sini.
"Kami yakin beliau adalah calon yang
paling sesuai sebagai Ahli Parlimen Bandar Tun Razak," kata Yang
DiPertua PAS Bandar Tun Razak, Md Syukor Aziz dalam sidang media tadi.
Sementara itu, Dr Rosni ketika ditemui Harakah
berkata, tiga nama calon sebelum ini telah dihantar oleh PAS Bandar Tun
Razak ke Majlis Syura Ulama dan nama beliau mendahului calon-calon lain
telah sebulat suara dipilih PAS Kawasan.
Ujarnya, ini hanyalah cadangan
daripada PAS Bandar Tun Razak, manakala keputusan rasmi akan diumumkan
oleh PAS Pusat dalam masa terdekat ini.
"Walaupun tiga penjuru, mungkin
satunya ialah dari segi jentera dan gerak kerja alhamdulillah PAS ke
depan, dan mungkin kelebihan kepada PAS lagi ialah apabila meletakkan
calon anak tempatan. Sebab saya anak tempatan di sini, walaupun
dilahirkan di Melaka tetapi membesar dan bersekolah pun di sini,"
katanya.
Tambah beliau, maklum balas sejumlah
hampir 100,000 pengundi Bandar Tun Razak sememangnya telah lama
menantikan PAS untuk bertanding di parlimen tersebut yang kini disandang
oleh wakil rakyat bebas, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Sejak tahun 1995, kerusi Parlimen
P.124 telah dipegang oleh MCA sehinggalah dirampas Pakatan Rakyat pada
PRU 2008 yang meletakkan Abdul Khalid sebagai calon.
Khalid kekal menewaskan pencabarnya dari MCA pada PRU ke 13, Tan Kok Eng dengan kemenangan besar iaitu sebanyak 11,832 undi. -HARAKAHDAILY
No comments:
Post a Comment