Monday, March 19, 2018

Datin dera amah, semakan semula hukuman Rabu ini

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Shah Alam menetapkan Rabu ini untuk mendengar permohonan semakan semula hukuman dikenakan terhadap Datin Rozita Mohamad Ali, 44, yang mengaku bersalah mendera pembantu rumahnya.
 
Perkara itu disahkan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Selangor, Muhamad Iskandar Ahmad, ketika dihubungi media sebentar tadi.
 
Beliau terdahulu memaklumkan bahawa notis perakuan segera difailkan hari ini di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam dan kes itu akan didengar di hadapan Hakim Datuk Tun Abd Majid Tun Hamzah pada jam 9 pagi Rabu ini.
 
Pada 15 Mac lalu, Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Mohammed Mokhzani Mokhtar, memutuskan Rozita dikenakan bon berkelakuan baik lima tahun dengan jaminan RM20,000.
 
Ia selepas Rozita mengaku bersalah atas kesalahan menyebabkan kecederaan parah terhadap pembantu rumah warga Indonesia, Suyanti Sutrinso, 19.
 
Tertuduh, yang sebelum ini mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan, bagaimanapun menukar pengakuan selepas pertuduhan pindaan ditawarkan kepadanya.
 
Berdasarkan pertuduhan pindaan, Rozita didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap Suyanti dengan menggunakan sebilah pisau berhulu biru, sebatang mop lantai, sekaki payung, sebatang rod besi berwarna biru, sebatang alat mainan kucing dan penyangkut baju berwarna putih yang digunakan sebagai senjata untuk menyerang.
 
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah, Jalan PJU 7/30, Mutiara Damansara, di sini antara jam 7 pagi dan 12 tengah hari, 21 Jun 2016 dan didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda.
 
 

No comments: