Thursday, March 22, 2018

Baling kerusi: Wanita bebas dengan jaminan bon

ANTARAPOS

Post Pic
KUALA LUMPUR: Seorang wanita berusia 23 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes remaja maut ditimpa sebuah kerusi dipercayai dicampak dari tingkat atas Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pantai, Pantai Dalam, di sini, Januari lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, hasil laporan kimia diperolehi, pihaknya menahan wanita berkenaan pada 12 Mac lalu dan direman sehingga 16 Mac lalu.
"Suspek sudah disoal siasat dan tiada pengakuan direkodkan daripada wanita berkenaan.
"Pihak Bukit Aman juga sudah merakam dan membuat soal siasat terhadap suspek melalui ujian Digital Voice Stress Analysis (DVSA), namun hasil siasatan didapati negatif," katanya dipetik BH Online.
Mazlan berkata, suspek diberi jaminan bon mengikut Seksyen 118 Kanun Prosedur Jenayah di Mahkamah Majistret, Jalan Duta Kuala Lumpur pada 16 Mac lalu.
"Sehingga kini, tiada sebarang perkembangan terbaru mengenai kes ini.
"Bagaimanapun, siasatan masih diteruskan," katanya.
Pada 15 Januari lalu, seorang remaja lelaki berusia 15 tahun maut selepas ditimpa sebuah kerusi dipercayai dicampak dari tingkat atas di Blok 102 PPR Seri Pantai, Pantai Dalam, di sini.
Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, S Sathiwaran yang juga pelajar Tingkatan Tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan La Salle, Petaling Jaya dikatakan sedang berjalan bersama ibunya, S Kasthurivai, 45, untuk balik ke rumah mereka di tingkat 16 blok terbabit.

No comments: