KUALA TERENGGANU: Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abdul Rahman terpaksa membuat pengakuannya apabila video tular di laman sosial Facebook mengenai kerosakan bas amfibia dua alam itu.
Namun, kerajaan negeri menafikan bas amfibia itu rosak, sebaliknya hanya hos peniup udara (blower hose) kenderaan Amphicoach tersebut tercabut ketika beliau memandu ujinya di Sungai Terengganu.
"Itu cuma masalah kecil saja. Saya sendiri yang pandu uji bas
berkenaan dan mungkin akibat kesilapan saya yang memandu kenderaan itu
dengan laju secara mendadak menyebabkan peniup udara tercabut.
"Memandangkan ketika ini ia masih dalam tempoh ujian dan percubaan,
saya sudah minta supaya kenderaan itu diuji lagi selepas ini.
"Ini penting kerana kita mahu pastikan bas ini boleh berfungsi
sebaik-baiknya di dalam air dan atas darat sebelum ia mula beroperasi,"
ujarnya bagi meredakan kritikan netizen tersebut.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Memorandum
Persefahaman (MoU) antara EPIC Berhad, CMC Engineering Sdn Bhd dan T7
Global Berhad di Wisma Darul Iman pada 14 Mac lalu.
Sehubungan itu, Pengerusi NGO Alifbata Srikandi Masyhur yang juga
Sekretariat Ummah Malaysia, Wan Asshima Kamaruddin menegur cara
pengurusan wang rakyat oleh kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN)
Terengganu.
"MB (Ahmad Razif) boleh meminta maaf tetapi wang lebih RM3 juta itu
(harga bas) adakah boleh dipulangkan kepada rakyat Terangganu?
"Pembaziran yang dilakukan oleh beliau menyebabkan sebilangan wang
rakyat digunakan bertujuan untuk hiburan yang tidak munasabah.
"Saya melihatkan wang itu amat membazir dan tidak berguna kerana bas
air itu dibeli tanpa diuji terlebih dahulu dan kesannya setelah dua kali
digunakannya sudah rosak," ujarnya kepada Harakah.
Beliau berpendapat bahawa harga nilaian sebuah bas berkenaan boleh
menyelamatkan sebilangan masalah sosial remaja, jika diperuntukkan bagi
mewujudkan rumah perlindungan wanita di Terangganu.
"Mengapa MB Terangganu tidak memikir dan berjimat tentang pengunaan
duit rakyat. Adakah dengan memohon maaf itu sudah cukup untuk
memulangkan kos pembelian bas itu?" soalnya.
Amphicoach atau bas amfibia dikatakan mampu berfungsi di darat dan
dalam air yang pertama seumpamanya di rantau ini dan ke-13 di dunia.
Amphicoach itu mampu memuatkan maksimum 47 penumpang yang boleh
dipandu sehingga kelajuan maksimum 110 kilometer (km) sejam di darat dan
kelajuan di air pula boleh mencapai maksimum 8 knot.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Tenaga dan
Teknologi Hijau negeri, Ir Rosli Othman berkata bas berkenaan
berkapasiti 6,870cc.
Mengikut perancangan, bas berkenaan akan ditempatkan di Tasik Kenyir sebagai tarikan baharu untuk orang ramai ke lokasi pelancongan tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara itu. - HARAKAHDAILY
Mengikut perancangan, bas berkenaan akan ditempatkan di Tasik Kenyir sebagai tarikan baharu untuk orang ramai ke lokasi pelancongan tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara itu. - HARAKAHDAILY
No comments:
Post a Comment