Saturday, September 23, 2017

Undi awal: SPR perlu hormati hak rakyat Sabah, Sarawak

 
Tan Sri Ramon Navaratnam berkata penafian sedemikian bermakna menghukum pengundi Malaysia kalangan "saudara-saudara kita dari Borneo."


ramon-bersih


PETALING JAYA: Seorang bekas penjawat awam kanan yang terkenal tampil melontarkan sokongan ke atas gesaan Bersih 2.0 agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyediakan peluang mengundi awal sama rata bagi pemilih Malaysia Timur yang tinggal di Semenanjung dan rakyat Malaysia Barat yang bekerja di Sabah dan Sarawak.

Tan Sri Ramon Navaratnam, pengerusi Pusat Asli Bagi Kajian Dasar Awam berkata, langkah sedemikian di pihak SPR amat dialu-alukan oleh kebanyakan rakyat Malaysia.

“Ini mengenai hak di bawah perlembagaan mereka untuk mengundi. Mengapa kita harus menafikan hak berharga ini hanya kerana beberapa peraturan ketinggalan zaman yang menegaskan bahawa penduduk Sabah dan Sarawak di Semenanjung Malaysia harus kembali ke kawasan masing-masing di Sabah dan Sarawak untuk mengundi.

“Kenapa kita tidak boleh memberi mereka hak istimewa sama seperti pekerja-pekerja (bidang) kecemasan, polis, tentera dan kakitangan media, untuk mengundi sebelum tarikh pengundian sebenar,” kata Ramon.

Khamis lalu, Bersih 2.0 melancarkan kempen menggesa SPR memudahkan proses pengundian, yang mengetengahkan nasib lebih 150,000 pengundi berdaftar dari Sabah dan Sarawak yang tinggal di Semenanjung Malaysia.

“Ketika setiap pilihan raya, pengundi ini perlu menghabiskan ratusan ringgit dan mencari masa untuk kembali ke kawasan pilihan raya mereka untuk mengundi,” kata Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah.

Ramon, bekas Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan berkata penafian sedemikian bermakna menghukum pengundi Malaysia kalangan “saudara-saudara kita dari Borneo.”

“Hujah yang sama boleh diterapkan kepada beribu-ribu rakyat Malaysia dari Semenanjung yang bekerja sebagai penjawat awam, guru, doktor dan ahli perniagaan, yang berkhidmat dengan setia di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Ramon menambah, selain mempromosikan “ketelusan dan kebertanggungjawaban”, tindakan membetulkan perkara itu pasti akan menambah “integriti” fungsi SPR.

“Bagaimanakah orang ramai dan pengundi mempunyai kepercayaan penuh, keyakinan dalam sistem pemilihan jika SPR terus mengabaikan rayuan rakyat untuk lebih berhati-hati, ada pertimbangan, simpati dan keadilan bagi rakyat Malaysia yang setia yang ingin mengundi?

“Oleh itu, rayuan kami kepada kerajaan dan SPR adalah sila ambil perhatian dan membolehkan kita melaksanakan tanggungjawab patriotik kita untuk secara aktif mengambil bahagian dalam tanggungjawab murni kita untuk mengundi,” kata Ramon sambil mendesak SPR supaya menunjukkan lebih banyak empati jika ingin lebih dihormati.

Sehubungan itu jelas Ramon, SPR mempunyai matlamat utama untuk menggalakkan dan membolehkan semua rakyat Malaysia memenuhi kewajipan mengundi dan bukannya mengecewakan dan menafikan mereka hak asasi demokratik.

“Jadi, janganlah mengasingkan orang Sabah dan Sarawak di Semenanjung, dan juga dari Semenanjung yang bekerja di Malaysia Timur, dan sebaliknya tampil untuk memenangi hati dan minda dan sokongan mereka,” Ramon yang turut menggesa kerajaan membuat keputusan mendesak mengenai perkara itu.

No comments: