Oleh Datuk A Kadir Jasin
KALAU atas apa alasan pun, kita mengharap atau menjangka kos sara hidup akan turun dalam masa terdekat, kita akan kecewa kerana harga barang dan perkhidmatan akan terus naik. Malah kadar peningkatan mungkin lebih tinggi.
Khamis lalu, akhbar The Star meramalkan yang pengguna akan terus menderita kenaikan harga disebabkan oleh peningkatan harga bahan bakar dan tambang pengangkutan.
Akhbar milik Persatuan China Malaysia (MCA) itu memetik data Jabatan Perangkaan yang menunjukkan bahawa garis kasar inflasi mengikut Indeks Harga Pengguna (CPI) naik 3.7 peratus dalam bulan Ogos berbanding bulan sebelumnya.
Tetapi kalau dibuang bahan makanan dan bahan bakar, inflasi asasi bagi bulan Ogos adalah lebih rendah iaitu 2.4 peratus.
Ini membuktikan secara sahih bahawa rungutan rakyat jelata mengenai kenaikan harga bahan makanan dan bahan bakar adalah berasas.
Seperti telah saya nyatakan sebelum ini, kenaikan besar harga bahan makan dan bahan bakar adalah kerana kenaikan harga antarabangsa yang diburukkan oleh kadar tukaran ringgit yang lemah
.
Gabungan dua faktor ini menyebabkan kenaikan luar biasa harga bahan makanan dan bahan bakar. Lagi-lagilah harga bahan bakar, iaitu petrol dan diesel, tidak lagi dikawal oleh kerajaan tetapi ditentukan oleh pasaran.
Sejak Julai lalu, harga minyak mentah dunia mula naik semula daripada sekitar AS$46 (kira-kira RM197.80) setong bagi minyak penanda aras Brent kepada kira-kira AS$56 (RM240.8) sekarang. Naik lebih 20 peratus.
The Star memetik seorang ahli ekonomi sebagai berkata, pengguna hendaklah bersedia menghadapi keadaan di mana harga akan kekal tinggi sepanjang baki tahun ini disebabkan oleh kenaikan harga bahan bakar dan tambang pengangkutan.
Kenaikan harga bahan bakar dan tambang akan memberi kesan limpahan kepada banyak barangan dan perkhidmatan pengguna. Misalnya, harga minyak masak melonjak 48.9 peratus dalam bulan Ogos berbanding setahun lalu, manakala ikan kembung naik 13.6 peratus, tenggiri 6.4 peratus dan cencaru 7.7 peratus.
Begitu juga dengan harga sayur-sayuran. Kubis naik 4.7 peratus dan choy sum 2.6 peratus.
Dalam keadaan semacam ini, rakyat jelata tentulah terkejut apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak, berjanji kepada Presiden Amerika, Donald J Trump, yang Malaysia akan labur modal dan beli kapal terbang untuk perkukuhkan ekonomi Amerika.
Kalau ikut angka pelaburan dan pembelian yang Najib beritahu Trump, kita mungkin membelanjakan di antara RM60 hingga RM100 bilion di Amerika.
Maaf cakaplah kalau saya kata, bukan kerja atau kemampuan kita untuk boroskan duit bantu ekonomi Amerika atau ekonomi mana-mana negara pun.
Ekonomi kita mungkin boleh dikira besar kalau dibandingkan dengan negara-negara membangun Asia dan Afrika.
Tetapi berbanding ekonomi Amerika, ekonomi kita tahi hidung saja. Amerika adalah ekonomi terbesar di dunia.
Tapi kalau kita hendak melabur untuk cari keuntungan, itu perkara lain. Saya sokong 100 peratus. Soal Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melabur di luar negara bukan perkara baru.
Dah berpuluh-puluh tahun KWSP dan tabung-tabung pela-buran milik negara (GLIC) macam Khazanah Nasional Berhad dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) melabur di luar negara.
Ia bukan saja langkah bijak tetapi sangat perlu. Pertama, kadar simpanan kita tinggi berbanding banyak negara membangun. Kedua, ekonomi kita tidak cukup besar untuk menyerap modal yang banyak itu. Dan ketiga, pulangan pelaburan (ROI) dalam negara tidaklah sebaik pulangan pelaburan di luar negara.
Dalam satu laporan beberapa hari lalu, KWSP berkata walaupun pelaburannya di luar negara hanya 29 peratus daripada keseluruhan pelaburan, tetapi ia menghasilkan 32.5 peratus pulangan.
Laporan lain pula mengatakan, bagi tahun 2016 pulangan pelaburan KWSP di luar negara adalah 9.73 peratus berbanding 6.18 peratus bagi pelaburan domestik.
Ini bermakna pelaburan di luar negara lebih menguntungkan.
Sesiapa saja yang melabur di pasaran kewangan dan pernah membeli saham dana bersama (mutual fund), akan mendapati saham dana bersama luar negara memberi pulangan lebih tinggi daripada dana bersama tempatan.
Jadi adalah wajar KWSP dan tabung-tabung pelaburan lain melabur di luar negara dengan syarat dilakukan secara berhemat, terperinci dan cermat untuk memaksimumkan pulangan kepada pencarum.
Tetapi kalau ia dibuat kerana hendak mengambil hati negara asing atau membantu memperkukuhkan ekonomi mereka, saya rasa ini adalah berbahaya dan tidak adil kepada rakyat jelata kita sendiri. Wallahuaklam.
* Datuk A Kadir Jasin, Tokoh Wartawan Negara
No comments:
Post a Comment