KUALA LUMPUR: Hajat sepasang suami isteri untuk menyambut Hari
Kebangsaan di London akhirnya tercapai apabila mereka menamatkan misi
menunggang kapcai (motosikal berkuasa rendah) di depan pejabat
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di kota raya itu semalam.
“Alhamdulillah. Sudah sampai di pejabat kedutaan (pesuruhjaya tinggi)
setelah menempuh perjalanan selama 146 hari,” kata bekas pekerja bank
Mohd Alfishahrin Zakaria, 31, yang ditemani isterinya Diana Latief, 30,
melalui laman Facebook secara langsung petang semalam.
Melalui video berdurasi kira-kira dua minit itu, mereka dilihat
disambut beberapa pegawai Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London yang
memberikan ucapan tahniah.
Pasangan suami isteri itu sebelum ini dilaporkan berhasrat mengibarkan
Jalur Gemilang di London sebagai mengingati kemerdekaan Malaysia
diperoleh hasil pemeteraian perjanjian di kota raya berkenaan.
Pasangan itu menjelajah 23 negara dengan sebuah motosikal berenjin
150cc melalui program inspirasi Anak Muda Bebas Dadah Persatuan Mencegah
Dadah Malaysia Selangor sejak 8 April lepas.
Mereka yang mendapat sokongan daripada beberapa syarikat permotoran
antarabangsa seperti GIVI Malaysia, STT SPROCKET dan MYBIKERZ,
membelanjakan hampir RM40,000 untuk mencapai misi tersebut.
Pada 2015, Mohd Alfishahrin menunggang secara solo ke 1000 Corner di
Chiang Mai, Thailand dan ini diikuti dengan misi solo ke tujuh sempadan
negara iaitu Thailand, Myanmar, Laos, China, Vietnam, Kemboja dan
Singapura pada 2016.
No comments:
Post a Comment