Lim Hong Siang
Jika dianalisis berdasarkan kerangka kaum, pilihan raya umum (PRU) di
Malaysia sebenarnya medan untuk menguji kebolehan pemimpin politik
mengimbangi sokongan antara kaum Melayu dengan bukan Melayu. Suka atau
tidak, retorik politik dibingkaikan sebegitu. Sentimen kaum dimainkan
sewenang-wenangnya, untuk memastikan pembangkang gagal mengerah momentum
yang secukupnya agar Umno-BN ditumbangkan.
PRU8 pada tahun 1990 membuka peluang untuk pembangkang menjatuhkan
Umno-BN, namun digagalkan pada saat-saat akhir apabila pengundi Melayu
termakan dengan propaganda bahawa Tengku Razaleigh Hamzah bakal
menggadaikan Islam, hanya dengan sebaran sekeping gambar yang
menonjolkan lambang palang di atas sigah Kadazan yang dipakainya. DAP
meraih lebih 70 peratus sokongan Cina, merangkul 20 kerusi parlimen,
tetapi Semangat 46 dan PAS sekadar merampas lapan dan tujuh kerusi
parlimen.
Sekali lagi Malaysia terlepas peluang untuk menukar kerajaan di
peringkat persekutuan, dalam PRU10 pada tahun 1999. Gelombang Reformasi
mengombak, kemarahan masyarakat Melayu meluap-luap, khususnya di utara
Semenanjung Malaysia, namun Umno-BN diselamatkan pengundi Cina. Dua
faktor utama yang menghantui masyarakat Cina ketika itu. Pertama, Cina
takut dimangsakan, sebagaimana tragedi rogol dan bunuh yang menimpa kaum
Cina di Indonesia pada waktu itu; Keduanya, Cina ditakutkan dengan
konsep “Negara Islam” yang diuar-uarkan pemimpin PAS ketika itu.
Kebangkitan “kuasa rakyat”(makkal sakti) dalam PRU12 pada
tahun 2008 mungkin paling seimbang antara kaum yang berbeza, sungguhpun
kadar sokongan pengundi bukan Melayu terhadap pembangkang lebih tinggi.
Tsunami politik mengombak tanpa sesiapa yang menjangkakannya, melambung
kadar undi popular pembangkang ke paras 48 peratus, menjadi pemisah
zaman yang mengubah landskap politik Malaysia walaupun tidak kesampaian
untuk menawan Putrajaya.
PRU13 pada tahun 2013 menyaksikan pertarungan paling sengit antara
dua gandingan parti politik dalam sejarah. Sokongan pengundi Cina
terhadap Pakatan Rakyat melonjak sehingga 85 peratus, namun masyarakat
Melayu menambat langkah dan memilih untuk mengekalkan Umno-BN sebagai
kerajaan persekutuan. Slogan “Ini kalilah”, terpaksa berakhir dengan
“Lain kalilah”.
Kini, ramai yang ghairah untuk meramalkan “tsunami Melayu” dalam
PRU14, yang bakal diadakan dalam tempoh kurang dari setahun bermula
sekarang. Mereka yang cuba mengambil pengajaran dari sejarah mula
bimbang, apakah sejarah PRU10 akan berulang, dengan lonjakan sokongan
Melayu kepada Pakatan Harapan, tetapi menyaksikan penurunan sokongan
daripada masyarakat bukan Melayu (khususnya Cina), sehingga gagal
dicukupkan momentum untuk menawan Putrajaya?
Undi Cina telah diumpamakan sebagai “deposit tetap” untuk pembangkang
buat kedua-dua PRU12 dan PRU13. Persoalannya, sejauh manakah stamina
sokongan pengundi Cina untuk pembangkang bertahan? Apakah ia telah tepu
pada paras 85 peratus, atau masih ada ruang untuk dilonjakkan?
Mungkinkah sentimen ini menyurut, dan sokongan pengundi Cina berpaling
kepada BN semula? Mengapa suasana politik dalam masyarakat Cina kurang
hangat, jika dibandingkan dengan waktu-waktu menjelang PRU13?
Kehangatannya mendingin
Beberapa petanda pasca PRU13 harus diteliti. PRK Teluk Intan pada Mei
2014 menyaksikan penurunan undi Cina kepada pembangkang, dari 85
peratus kepada 70 peratus, sehingga DAP gagal mempertahankan kerusi
parlimen tersebut. Dua tahun kemudian, DAP kehilangan lima kerusi DUN
dalam PRN Sarawak, daripada 15 yang dikuasainya pada tahun 2011. Malah,
sehingga pilihan raya kecil kembar terakhir sebelum PRU14, iaitu Kuala
Kangsar dan Sungai Besar pada Jun 2016, pembangkang nampaknya masih
gagal memulihkan sokongan pengundi Cina ke tahap 85 peratus.
Dari segi penglibatan gerakan sosial, Himpunan BERSIH 4 pada Ogos
2015 memperlihatkan penyertaan aktif masyarakat Cina, namun momentum ini
tidak bertahan sehingga BERSIH 5 pada November 2016. Forum (bahasa
Cina) yang membincangkan isu-isu semasa tidak mendapat sambutan yang
memberangsangkan sebagaimana dahulu; malah perbincangan isu semasa dalam
laman sosial juga hilang fokusnya.
Jikalau diimbas tempoh setahun menjelang PRU13, dengan senang
komuniti Cina dikerah. Wong Tuck, yang tidak dikenali langsung sebelum
isu Lynas muncul, disambut hangat. Dengan hanya mengumumkan keputusan
untuk berjalan kaki dari Kuantan ke Kuala Lumpur sebagai tekad menolak
Lynas, segala-galanya diaturkan oleh sukarelawan dari setiap pelosok.
Kaum ibu yang ketika itu menubuhkan “Mama BERSIH”, turut serta sebagai
tanda solidariti. Momentum ini bergolek melalui laman sosial, sehingga
akhirnya ia meledak.
Tidak terlampau jika ada yang menyifatkannya sebagai zaman “petik
jari saja, ribuan turut serta”. Mana-mana politikus BN yang terlanjur
kata, akan disanggah, disindir dan dikecam teruk di laman sosial. Fans Page ditubuhkan untuk membuktikan kepada penguasa bahawa “kami mempunyai angka yang lebih besar”. Misalnya apabila Najib menubuhkan page rasminya Ah Jib Gor, maka penyokong pembangkang menubuhkan Ah Wah Gor untuk Anwar Ibrahim. “Like” yang diperoleh page Anwar ini memintas angka “Like” Ah Jib Gor dalam masa 24 jam ketika itu. Apa-apa sahaja yang dilakukan oleh penguasa, tidak kena pada tempatnya.
Persoalannya, berapa agaknya susuk tubuh manusia yang mampu dikerah
ke jalan raya, jikalau seseorang pemimpin politik mahupun NGO tampil dan
memanggil satu himpunan membantah kenaikan harga minyak sekarang?
Jangankan turun ke jalan raya, masakan tubuh “page” di Facebook pun sukar mencecah angka 20,000 “Like”.
Kebuntuan politik
Sudah tentu ramai yang tertanya-tanya, mengapa? Faktornya banyak, dan
saling berkaitan. Rombakan landskap politik pasca PRU13 antara punca
utama. Pengundi Cina yang mencurah seluruh keringatnya untuk menyokong
PAS dalam PRU13, menganggap dirinya dikhianati. Mereka menyokong “PAS
untuk Semua”, tetapi ia berakhir dengan “PAS untuk Ulama” setelah
pemimpin yang lebih progresif dicantas dalam pemilihan parti pada Jun
2015. Tema “Negara Berkebajikan” dibakulsampahkan, diganti dengan tekad
pelaksanaan hudud dan retorik yang memusuhkan Muslim dengan non-Muslim.
Lebih-lebih lagi, PAS kini kelihatan lebih mesra untuk didampingi Umno,
berbanding bekas rakan seperjuangannya dalam Pakatan Rakyat.
Meskipun masih panas hatinya terhadap Najib Razak yang terpalit
dengan skandal 1MDB, pengundi Cina kebanyakannya tersepit dalam dilema,
seandainya kawasan pengundian dirinya menyaksikan pertembungan antara
PAS dengan Umno. Pelbagai kempen boleh diadakan untuk mendaftarkan
pengundi yang telah berkelayakan, atau seruan agar tidak membuang undi
rosak. Namun satu soalan kekal tidak terjawab, siapakah yang harus
diundi, jikalau pilihan terpaksa dibuat antara PAS dengan Umno? Jikalau
jawapannya ABU (Asal Bukan Umno), si Cina ini akan menyusul, “Apakah
jaminan PAS tidak akan bekerjasama dengan Umno andainya PAS menang?”
Barangkali sesetengah pemimpin Pakatan Harapan akan mencadangkan,
undi HARAPAN, yang sudah bersedia bertanding meskipun tiga penjuru. Kita
ketepikan dahulu persoalan sejauh manakah HARAPAN boleh menang jika
undi anti-BN dipecahkan oleh PAS. Cuba kita andaikan, pengundi Cina
perlu memilih antara BN, PAS dengan BERSATU (Parti Pribumi Bersatu
Malaysia). Parti mana yang boleh diamanahkan?
Ramai yang teruja dengan kehadiran sosok Dr Mahathir Mohamad dalam
HARAPAN. Pada masa yang sama, ramai juga yang bersikap sangsi terhadap
bekas PM yang pernah menerajui tampuk kuasa selama 22 tahun ini.
Masyarakat Cina lebih terkesan kerana mempunyai rekod dikhianati pada
tahun 2000, apabila dituduh oleh Mahathir sebagai komunis dan kumpulan
pelampau lantaran isu Suqiu. Suqiu adalah satu dokumen
dengan tuntutan 17 perkara dalam bidang pendemokrasian politik,
ditandatangani 2,097 pertubuhan Cina di Malaysia. Ia diserahkan kepada
Mahathir selaku PM sebelum PRU10, dan diterima Mahathir ketika itu.
Bagaimanapun, Mahathir menggigit tangan tuannya setelah rejimnya
diselamatkan undi Cina daripada gelombang Reformasi.
Persoalannya, jikalau PAS tidak boleh dipercayai, bagaimana pula
dengan BERSATU yang dipimpin Mahathir, yang pernah membuang sepah
selepas habis madu 17 tahun lalu? Perlu diingatkan, Suqiu
dipelopori pertubuhan Cina yang agak progresif, yang selama ini menjadi
tunjang sokongan pembangkang dalam masyarakat Cina. Jikalau tiada dewan
yang berani disewakan kepada pembangkang untuk ceramah dan forum, Dewan
Perhimpunan Cina KL-Selangor satu-satu tempat yang membuka pintunya.
Tetapi inilah bangunan yang pernah diugut untuk dibakar oleh Naib Ketua
Pemuda, Abdul Aziz Sheikh Fadzir ketika zaman pemerintahan Mahathir.
Undi Cina diambil kesempatan?
Kita sedia maklum, kekuatan gandingan PKR-DAP-AMANAH gagal memacu
momentum yang memadai untuk merempuh pintu Putrajaya. Undi Melayu
menjadi kunci utama, lantas kita memerlukan BERSATU atau PAS, atau
kedua-duanya sekali. Justeru itu, percaturan strategi HARAPAN kini lebih
tertumpu untuk meraih undi Melayu, memastikan kegusaran Melayu
diredakan agar mereka memberanikan diri untuk mengorak langkah ke arah
perubahan.
Pada masa yang sama, tidak dinafikan bahawa sistem negara selama ini
sebenarnya meminggirkan kaum bukan Melayu yang minoriti, miskin dan
lemah. Komuniti Cina merasakan diri mereka dimangsakan sistem ini,
kerana tidak diberi peluang yang saksama, tidak dilayan dengan
seadilnya, malah seringkali dituding jari dan dikambinghitamkan oleh
politikus yang tidak bertanggungjawab.
Mereka berhempas-pulas untuk
membangunkan negara, tetapi layanan yang diterima tidak setimpal dengan
apa yang disumbangkan.
Ketidakpuasan ini bertimbun, dengan harapan keadaan diperbaiki
seandainya berlaku pertukaran kerajaan persekutuan. Sedar atau tidak,
pembangkang masih menganggap undi Cina adalah “deposit tetap”, dan
kadang-kala mengambil kesempatan ke atasnya. Pembangkang bimbang
seandainya dijanjikan komitmennya untuk masyarakat Cina, ia akan diambil
kesempatan oleh Umno-BN untuk menakut-nakutkan pengundi Melayu.
Di celah-celah inilah munculnya suara untuk menyeru agar pengundi
Cina membuang undi rosak dalam PRU14. Logiknya, jikalau nasib Cina tetap
sama selepas kerajaan Umno-BN ditukar, untuk apa Cina menyokong
HARAPAN? Lebih-lebih lagi, jikalau HARAPAN sanggup merangka agenda demi
memenuhi keperluan Melayu semata-mata untuk memikat undinya, mengapa
HARAPAN tidak melakukan benda yang sama untuk menarik undi Cina?
Bukankah Cina juga rakyat yang berhak untuk menyuarakan keperluannya,
dan dibela di bawah satu sistem demokrasi?
Demikianlah hujah yang sedang menular pengaruhnya di kalangan
komuniti Cina. Barangkali tidak ramai Cina yang berpaling untuk mengundi
MCA-Gerakan, namun apa yang lebih pasti, tidak kurang Cina yang enggan
kembali dari jauh semata-mata untuk mengundi dalam PRU14. Tiada jaminan
bahawa PAS atau BERSATU tidak akan mengkhianati mandat mereka, apatah
lagi jikalau tiada juga agenda untuk memperbaiki nasib mereka?
Penurunan peratus mengundi adalah punca DAP kehilangan kerusi
parlimen Teluk Intan. Jikalau dilihat suasana masyarakat Cina sekarang,
memang ada wajarnya untuk meragui sejauh mana stamina sokongan pengundi
Cina terhadap pembangkang bertahan. Sokongan pengundi Cina terhadap
pembangkang pada paras 85 peratus barangkali kemuncak dalam sejarah, dan
agak mustahil pembangkang memacu lagi dalam suasana sedia ada.
Sudah tentu ada yang akan membangkitkan, bahawa Cina bakal mengambil
kesempatan untuk menuntut lebih apabila Melayu bergaduh sesama Melayu.
Namun demikian, seandainya kita gagal keluar dari kerangka retorik
sebegini, tidak sukar untuk kita ramalkan bahawa lebih Cina akan
mengundi menggunakan kaki – meninggalkan tanah air – selepas ini.
(tamat)
LIM HONG SIANG ialah bekas editor MerdekaReview, edisi bahasa Melayu dan penyunting buku Tsunami Cina: Retorik Atau Realiti?
No comments:
Post a Comment