PUTRAJAYA: Tiga individu termasuk seorang pengurus Petronas Carigali
Sdn. Bhd. (PCSB) direman selama enam hari bagi membantu siasatan
berhubung kes tuntutan invois palsu sebanyak AS$5.56 juta (RM23.65 juta)
bagi satu projek di Bintulu, Sarawak pada 2015.
Perintah reman bermula hari ini hingga 11 September ini dikeluarkan
oleh Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab. Rahman selepas ketiga-tiga
suspek tersebut dibawa ke Mahkamah Majistret di sini pada pukul 11.20
pagi.
Dua lagi individu adalah seorang pengarah sebuah syarikat kontraktor
berumur 53 tahun yang difahamkan dilantik untuk melaksanakan projek
tersebut serta seorang bekas pembantu teknikal syarikat cari gali
berkenaan yang berumur 28 tahun.
Memetik laporan Utusan Malaysia, ketiga-tiga suspek berkenaan ditahan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam antara jam 2.40
dan 3 petang bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Pengurus PCSB berumur 45 tahun itu ditahan di pejabatnya di Menara
Berkembar Petronas KLCC, manakala pengarah syarikat kontraktor ditahan
di rumahnya di Batu 9, Cheras.
Bekas pembantu tektikal itu pula ditahan di rumahnya di Puncak Alam, Selangor.
Menurut sumber, ketiga-tiga suspek dipercayai mengemukakan tuntutan
palsu melalui tiga invois syarikat kontraktor itu antara April hingga
Jun 2015 bagi kerja yang sepatutnya dilakukan syarikat berkenaan.
Difahamkan, tuntutan itu sudah dibayar oleh syarikat cari gali
berkenaan kepada syarikat kontraktor terbabit, namun tiada kerja
dilaksanakan bagi tuntutan itu.
No comments:
Post a Comment