Thursday, September 7, 2017

Saya tak minat tanding PRU14 tapi Ikatan akan letak calon - Kadir Sheikh Fadzir

Oleh Syed Mu'az Syed Putra
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Pengerusi Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir mengesahkan beliau tidak akan bertanding di mana-mana kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
 
Namun beliau menegaskan akan terus aktif dalam politik untuk membantu memantapkan Gagasan Sejahtera dan jentera parti dalam gabungan itu.
 
Ya (tidak bertanding), tapi saya akan tetap aktif (berpolitik) sampai bila-bila," katanya kepada Antarapos.
 
Beliau juga memberi jaminan parti itu akan meletakkan calon untuk bertanding dalam PRU14 nanti yang akan dibincangkan dengan PAS.
 
"Saya sendiri tak minat untuk bertanding tapi saya rasa ramai di kalangan Dewan Tertinggi Ikatan mempunyai kelulusan serta pengalaman yang tinggi dan mungkin mereka akan bertanding.
 
"Kami tak fikir lagi tentang itu, nanti dekat pilihan raya kami akan bincang dan runding dengan PAS," katanya.
 
Mengulas lanjut Kadir Sheikh Fadzir berkata beliau ingin melihat kuasa politik Melayu terus kukuh dalam pembangunan negara.
 
"Jadi waktu saya melancarkan parti Ikatan saya dah nyatakan bahawa parti kami ini dilahirkan untuk generasi akan datang untuk membina bangsa Melayu yang bersatu padu, adil saksama dan bahagia.
 
"Itu objektif kita, jadi kita tak obses dengan pilihan raya untuk nak dapat kerusi tapi kita lahir untuk menangani isu rakyat dan bagaimana nak selesaikannya," katanya.
 
 

No comments: