Saturday, September 9, 2017

Sambutan ulangtahun PPBM terbuka, Anina boleh datang, kata Muhyiddin


Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin mempersilakan bekas ahli majlis tertinggi parti itu Anina Saadudin hadir ke majlis sambutan ulangtahun pertama parti itu di Muar, hari ini.


muhyiddin-anina


KULAI: Muhyiddin berkata, sambutan berkenaan terbuka untuk semua pihak jadi tidak timbul isu Anina tidak menerima undangan daripada PPBM untuk hadir ke majlis berkenaan.

“Majlis ini terbuka kepada semua, sesiapa boleh datang, wartawan boleh datang, ahli boleh datang…jadi silalah datang,” kata Muhyiddin ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Konvensyen Parti Amanah Negara (Amanah) di IOI Palm Villa di sini.

Anina awal hari ini dalam kenyataan berkata beliau tidak menerima undangan menghadiri sambutan tersebut.

Beliau menyoal adakah PPBM mahu melupakannya walaupun beliau salah seorang daripada 7 pengasas parti itu.

Anina yang memegang nombor keahlian 0000005 berkata beliau tidak menerima sebarang undangan ke majlis meraikan ulangtahun PPBM yang diadakan di Muar, Johor, walaupun dirinya satu-satunya “ibu” yang mengasaskan parti itu.

“Jika saya dilupakan, beritahu saya bagaimana mungkin saya percaya parti ini akan mengingati begitu ramai insan yang menggerakkan perjuangan ini sejak lebih 2 tahun yang lalu,” kata Anina dalam kenyataan hari ini.

Anina juga berkata beliau dikeluarkan dari semua kumpulan WhatsApp kepimpinan tertinggi PPBM namun tiada surat rasmi diberikan menjelaskan sebab musabab tindakan itu kepadanya.

“Jika parti ini gagal bersikap professional dalam pentadbirannya, beritahu saya bagaimana mungkin saya yakin ianya mampu profesional dalam mentadbir sebuah kerajaan,” tambahnya.

Anina dilantik ke majlis tertinggi PPBM pada November 2016 namun dilaporkan tersingkir dari semua jawatan parti berikutan satu skandal mesej seks.

Kejatuhan Anina bermula selepas tangkap layar perbualan intim dalam aplikasi WhatsApp yang didakwa antara beliau dan seorang lelaki tidak dinamakan tersebar baru-baru ini. Anina menepis dakwaan itu.

Anina dikatakan mengangkat sumpah jawatan ketua Wanita PPBM pada 2 November di majlis yang sama PPBM mengumumkan ahli majlis tertinggi parti itu. Bagaimanapun, PPBM pada Disember berkata Anina tidak pernah dilantik ke jawatan itu secara rasmi.

Ketika khabar angin mengatakan Anina dipecat dari jawatan itu bertiup kencang, Setiausaha Agung PPBM Datuk Shahruddin Md Salleh pada 26 Disember menjelaskan parti itu belum menubuhkan sayap Wanita secara rasmi, oleh itu kedudukan Anina yang dikatakan disingkir daripada jawatan itu tidak timbul.

No comments: