Tuesday, September 12, 2017

Rakyat beri penghormatan terakhir pagi ini

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
ALOR SETAR: Rakyat jelata khususnya dari negeri ini berpeluang memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Almarhum Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, sempena istiadat pemakaman hari ini.
 
Berdasarkan aturcara, rakyat jelata dibenar memasuki Istana Anak Bukit, di sini, bermula jam 11 pagi ini bagi maksud memberi penghormatan terakhir ke atas jenazah Almarhum Sultan Kedah ke-27 yang mangkat pada usia 90 tahun itu akibat gering semalam.
 
Tempoh sejam setengah diberikan kepada rakyat sebelum disusuli kemasukan kerabat dan kenamaan serta delegasi asing bermula jam 12.30 tengah hari bagi tujuan sama.
 
Bagi yang tidak berkesempatan, rakyat boleh memberi penghormatan terakhir ketika jenazah Almarhum Sultan Kedah diarak ke Makam Diraja Langgar bermula jam 2.30 petang melalui Lebuhraya Darulaman, Jalan Tun Razak dan Jalan Langgar, di sini.
 
Terdahulu pada sebelah pagi jenazah Almarhum Sultan Kedah akan disemayamkan di Balai Penghadapan Baharu Istana Anak Bukit, bagi istiadat bersiram bermula jam 8.30 pagi, sebelum dikafan dan disolatkan.
 
Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah yang diputerakan pada 28 November 1927 disahkan mangkat di Istana Anak Bukit jam 2.30 petang semalam.
 
Pengumuman kemangkatan dibuat Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, melalui sidang media khas petang semalam dengan tujuh hari tempoh berkabung ditetapkan di Kedah, di mana semua keraian, perayaan dan sambutan dibatalkan.
 
Bendera Kedah di semua bangunan Persekutuan, negeri dan milik awam di negeri ini juga perlu dikibarkan separuh tiang sepanjang tiga hari bermula semalam.
 
Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah adalah satu-satunya Raja Melayu yang memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong dua kali.
 
Kali pertama selaku Yang di-Pertuan Agong ke-5 pada 21 September 1970 hingga 20 September 1975 dan kedua sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 13 Disember 2011 hingga 13 Disember 2016.
 
 

No comments: