Thursday, September 7, 2017

Kumpulan pertama jemaah haji selamat tiba

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
SEPANG: Kumpulan pertama 414 jemaah haji Malaysia selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi tadi.
 
Ketibaan mereka menerusi penerbangan XY9003 Flynas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah itu disambut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH), Datuk Badlisyah Abdul Ghani, pengurusan tertinggi TH serta anggota keluarga.
 
Pesawat mendarat jam 5.05 pagi tadi.
 
Badlisyah berkata urusan ibadat haji bagi musim ini berjalan lancar malah, tiada insiden tidak diingini sepanjang jemaah di Tanah Suci.
 
"Bagaimanapun, empat daripada jemaah kita tidak berjaya menyempurnakan ibadat haji kerana koma tetapi kita akan mengutamakan mereka untuk menyempurnakan ibadat ini pada tahun depan.
 
"Sebanyak 37 jemaah haji dilaporkan meninggal dunia dengan 21 daripadanya sempat mengerjakan wukuf di Arafah manakala 16 lagi tidak berjaya," katanya ketika ditemui selepas menyambut kepulangan kumpulan jemaah haji pertama di KLIA di sini, hari ini.
 
Beliau berkata, penerbangan jemaah haji Malaysia pulang ke tanah air dari Jeddah dan Madinah dijangka berakhir pada 5 Oktober ini membabitkan 119 penerbangan.
 
"Selain itu, TH juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi yang berjaya menguruskan kira-kira 3 juta jemaah haji dari seluruh dunia termasuk 30,200 jemaah haji Malaysia," katanya.
 
 

No comments: