Thursday, September 7, 2017

Kerugian sebenar BNM: Anwar, Sidek bertikam lidah


Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini bertikam lidah dengan Tan Sri Mohd Sidek Hassan apabila pengerusi Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkeras menyatakan bekas menteri kewangan itu mengetahui tentang jumlah kerugian sebenar tetapi memilih untuk tidak memaklumkannya kepada kabinet.

Tampil sebagai saksi ke-21 di hadapan RCI yang ditubuhkan bagi menyiasat kerugian pertukaran wang asing (forex) oleh Bank Negara, hari ini, Anwar yang adalah juga timbalan perdana menteri ketika itu menegaskan bahawa beliau telah berbuat demikian.

Walau bagaimanapun, Sidek berkata kabinet tidak dimaklumkan tentang angka sebenar dan sebaliknya hanya dimaklumkan mengenai kerugian RM5.7 bilion.

"Kamu sedar akan kehilangan pada tahun 1992 tetapi anggota kabinet tidak melihat surat itu," kata Sidek merujuk kepada surat yang ditulis oleh Ketua Audit Negara, Tan Sri Ishak Tadin mengenai kerugian itu.

Sidek berkata, kerugian berkenaan tidak dijelaskan kepada kabinet dan bahawa Anwar telah memutuskan untuk mendedahkan angka yang berbeza.

Anwar, bagaimanapun, menyangkalnya dan berkata angka yang beliau jelaskan kepada kabinet adalah berdasarkan perbincangannya dengan Bank Negara.

"Kami sebut apa yang dijelaskan oleh bank pusat termasuk kehilangan atas kertas, kedudukan masa hadapan,” katanya.

Sidek mencelah dan berkata mereka "bukannya bercakap mengenai nombor".

"Kamu menguruskan ekonomi. Apa yang kamu sedang bincang sekarang adalah mengenai rawatan.
"Kamu tahu, tetapi memilih untuk tidak memaklumkan kepada kabinet," kata Sidek.

No comments: