PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan hari ini menyangkal laporan media
Singapura yang mendakwa Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru
menangguhkan rawatan dan imbasan perubatan sewajarnya kepada seorang
rakyat negara itu yang merupakan mangsa langgar lari, sehingga mendapat
bayaran tunai.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pemuda
berusia 25 tahun itu yang cedera parah, diberikan rawatan kecemasan
pada kadar segera tanpa sebarang desakan untuk bayaran deposit terlebih
dahulu.
Katanya, warga Singapura itu yang dalam keadaan kritikal, terus
dimasukkan ke Zon Merah di Jabatan Kecemasan HSA dan diberikan rawatan
kecemasan sejajar protokol Sokongan Nyawa Trauma Lanjutan (ATLS) yang
sudah dimulakan dalam ambulans.
“Pasukan Jabatan Kecemasan juga memulakan pengimejan yang perlu (x-ray,
imbasan otak CT, serviks dan toraks), rawatan (termasuk intubasi) dan
rujukan kepada pasukan berkaitan secara profesional dan dalam masa
singkat, tanpa meminta sebarang deposit memandangkan ia adalah kes
kecemasan.
“Disebabkan kecederaan otaknya, pesakit itu dirujuk kepada pasukan
pembedahan saraf dengan perancangan untuk nyahmampatan kraniektomi
segera, pengeluaran darah beku dan pemantauan tekanan intrakranial,
tanpa meminta deposit,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, The Independent melaporkan Justinian Tan meninggal dunia
selepas HSA menangguhkan rawatan dan imbasan ke atasnya sehingga
mendapat bayaran tunai.
Tan dilaporkan bersama 5 rakannya berjalan ke kereta mereka kira-kira
jam 3 pagi, selepas selesai makan lewat malam. Sebuah Proton Saga
melarikan diri, selepas merempuh mereka.
Tan yang tidak sedarkan diri kemudiannya menggigil, batuk berdarah dan sukar bernafas.
Rakan Tan yang dipetik portal berita itu berkata, pihak berkuasa lambat
bertindak, dengan ambulans hanya tiba 30 minit kemudian, walaupun jarak
tempat kejadian dengan hospital hanya 5km atau 9 minit perjalanan,
berdasarkan kiraan Google Maps.
Dr Hisham bagaimanapun menafikan dakwaan itu dengan berkata, rekod
perkhidmatan ambulans menunjukkan sebuah ambulans dikerahkan ke tempat
kejadian 2 minit selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 2.57
pagi, 25 Ogos lalu.
Beliau memuji tindakan pantas ambulans itu yang tiba di tempat kejadian
dalam masa 13 minit, iaitu pada jam 3.10 pagi dan bergegas ke HSA
dengan pesakit 5 minit kemudian.
Dr Hisham berkata, dakwaan rakan mangsa yang HSA meminta bayaran
RM1,350 untuk melakukan imbasan dan satu lagi bayaran sebanyak RM1,350
untuk membuang “pendarahan dalam otak” Tan, juga tidak benar.
Beliau mempertahankan HSA bertindak sejajar dasar Kementerian Kesihatan
mengikut Pekeliling Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan bertarikh 4
Mac 2015 berhubung bayaran deposit untuk warga asing di hospital
kerajaan.
Katanya, ahli keluarga Tan hanya diminta membayar kos pengimejan berjumlah RM2,575 setiba mereka di HSA.
Bagaimanapun, katanya, ahli keluarga mengeluarkan Tan atas risiko
sendiri (AOR) untuk dihantar ke sebuah hospital di Singapura, selepas
memahami risiko yang perlu ditanggung mereka kerana menangguhkan
pembedahan ke atas mangsa.
“Kementerian Kesihatan menggesa semua pihak berkaitan bertanggungjawab
dalam laporan dan ulasan lanjut kerana mengeluarkan maklumat tidak tepat
serta kenyataan tidak berasas boleh menimbulkan salah faham dan
menjejaskan keharmonian.
“Kementerian Kesihatan sentiasa menghargai nyawa dan melakukan yang
terbaik untuk merawat mana-mana pesakit, tanpa mengira latar belakang
atau kerakyatan mereka.
“Ini sejajar etika dan budaya korporat Kementerian Kesihatan, iaitu
‘Penyanyang, Profesionalisme dan Kerja Berpasukan’ serta ‘Kami Sedia
Membantu’,” katanya.
Tan yang merupakan anak ke-3 daripada 4 beradik itu disahkan mati otak
pada jam 5.56 petang Isnin lalu. Kelmarin, ibu bapanya membenarkan
doktor mencabut sistem sokongan hayatnya.
No comments:
Post a Comment