Oleh Shuhaniza Said
KUALA LUMPUR: Tempoh tahanan reman ketujuh-tujuh suspek kes kebakaran
Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di ibu negara, minggu lalu,
dilanjutkan sehingga 29 September ini.
Peguam yang mewakili kesemua tertuduh, Ikhmar Syafiq Azmi berkata,
permohonan lanjutan reman itu dibenarkan oleh Majistret Zuhair Rosli.
Lanjutan reman selama tujuh hari itu adalah bagi membantu pihak polis melengkapkan siasatan berhubung insiden tersebut.
"Mereka sekarang masih dalam tahanan reman, iaitu prosedur di mana ia
masih dalam siasatan polis, jadi masih belum dituduh. Siasatan masih di
bawah seksyen yang sama," katanya ketika ditemui pemberita di Lokap
Berpusat Kuala Lumpur, Jinjang, di sini.
Ujarnya juga, kesemua tujuh suspek ditempatkan ditiga lokap berasingan.
"Tertuduh B1 dan B2 di lokap berbeza, B3 dan B4 di sebuah lokap berbeza
dan seterusnya tiga lagi tertuduh di lokap berbeza. Ada tiga lokap
berbeza.
"Sekarang mereka semua berada di sini (lokap Jinjang), selepas ini mereka akan dihantar pulang ke lokap masing-masing di IPD.
"(Diasingkan lokap) berkemungkinan ini adalah kes berprofil tinggi, dan
proses mengambil keterangan tidak boleh disekalikan," ujarnya namun
enggan mendedahkan lokasi suspek ditempatkan.
Untuk rekod, kesemua suspek sebelum ini direman selama tujuh hari bermula 16 September lalu yang berakhir hari ini.
Dalam pada itu, ujar Ikhmar, kesemua suspek tidak dibenarkan berjumpa
dengan keluarga masing-masing sepanjang tempoh tahanan reman.
Justeru ujar beliau, pihaknya masih cuba mendapatkan hak lawatan keluarga suspek.
Dalam kejadian awal pagi 14 September lalu, seramai 21 pelajar dan dua
guru pusat tahfiz itu terkorban akibat terperangkap selepas tingkat atas
bangunan tiga tingkat itu terbakar, dipercayai angkara khianat.
Berikutan itu, polis menahan tujuh suspek berusia antara 11 hingga 18 tahun bagi membantu siasatan.
No comments:
Post a Comment