Saturday, September 16, 2017

[KEMASKINI] Anina Saadudin pula keluar PPBM

Oleh Athirah Hanapiah
Post Pic


SHAH ALAM: Kemelut dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dipengerusikan mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semakin meruncing, berikutan seorang lagi daripada ahli penting parti itu bertindak keluar hari ini.

Individu tersebut ialah Anina Saadudin, yang merupakan salah seorang daripada tujuh pengasas PPBM.

Beliau mengumumkan keluar daripada parti yang diasasnya itu berkuat kuasa hari ini.

Pengumuman itu dibuatnya sendiri dalam satu sidang media yang turut disiarkan melalui laman Facebook rasminya sebentar tadi.

"PPBM kini adalah parti yang menjadi wadah untuk mencatur kepentingan individu tertentu.

"Kini parti yang saya asaskan secara bersama dengan enam lagi orang individu yang lima lagi daripadanya masih kekal dalam barisan kepimpinan parti sudah tidak lagi  menepati prinsip perjuangan saya yang diaspirasikan oleh pemikiran marhain seperti saya.

"Dengan ini saya mengumumkan keluar dari PPBM, saya akan meneruskan perjagan saya membela rakyat dengan berlandaskan kasih sayang kepada bangsa Melayu dan Ummah melalui platform NGO yang bakal saya umumkan tidak berapa lama lagi.

Pengumuman keluar parti yang dibuat Anina itu menjadikan kini PPBM telah kehilangan dua orang pengasas kepada parti itu.

Terdahulu, pada April lalu seorang pengasas PPBM, Kamarulazman Habibur Rahman mengambil langkah yang sama selepas hilang keyakinan terhadap kepimpinan PPBM, yang dakwanya semata-mata mahu merebut kuasa dan kedudukan.

Keputusan Anina keluar parti pada hari ini seakan mempunyai sebab yang sama dengan Kamarulazman.

Katanya, parti itu kini sedang ditadbir dengan buruk namun berselindung disebalik nama pengerusinya Dr Mahathir.

Lebih memburukkan katanya, ahli-ahli di dalam parti itu tidak diberikan hak untuk bersuara dan mengkritik mana-mana pemimpin yang seterusnya menjadikan parti itu dikuasai oleh pemimpin yang hanya mementingkan kuasa politik peribadi mereka sahaja.

"Parti ini sedang ditadbir dengan buruk namun berselindung di sebalik nama negarawan Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Pucuk pimpinan parti dilindungi dan tidak boleh dikritik mahupun dicuit. Jika anda mengkritik pemimpin, anda adalah ancaman kepada parti dan perlu segera disejuk beku.

"Yang berani bersuara akan didiamkan malah fitnah akan dihalalkan untuk mematikan pengaruhnya.

"Kuasa dijadikan trofi tanpa menghiraukan akibatnya terhadap survival bangsa Melayu diperingkat bawahan, ianya kini menjadi parti untuk kepentingan elitis menyambung nyawa politik," ujarnya lagi.

No comments: